LIMA PELAJAR TAJAAN ALUMNI UPM BERJAYA TAMAT PENGAJIAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » LIMA PELAJAR TAJAAN ALUMNI UPM BERJAYA TAMAT PENGAJIAN

LIMA PELAJAR TAJAAN ALUMNI UPM BERJAYA TAMAT PENGAJIAN

BINTULU: Lima pelajar yang menerima tajaan biasiswa daripada Alumni Universiti Putra Malaysia UPM telah berjaya menamatkan pengajian dan menerima diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen UPM ke-47, Sidang 1, di UPM Kampus Bintulu pada Sabtu lalu.
Mereka kemudiannya diraikan dengan sesi temu mesra bersama penaja biasiswa pada hari tersebut.
Para pelajar terbabit terdiri daripada Nurul Afifah Nabila Ahmad yang menerima Diploma Pengurusan Perladangan Makanan dan merupakan pelajar tajaan Biasiswa Soh Kim Mee.
Manakala tiga pelajar masing-masing pemegang Diploma Pertanian ialah Mirna Makiri, Nurul Sajeedah Abdul Rahman dan Muhammad Muizuddin Sakka merupakan pelajar tajaan Biasiswa Chapter Cyperus 92 2.0.
Seorang lagi ialah Muhammad Khairin Danish Mohd Khairani, menerima Diploma Pengurusan Perladangan Makanan sebagai pelajar tajaan Biasiswa TMJ.
Kesemua pelajar ini antara 484 graduan yang berjaya menerima Ijazah Doktor Falsafah Ph.D, Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma yang telah disampaikan oleh Tuanku Canselor UPM Sultan Sharafuddin Idris Shah di Dewan Sri Kenyalang pada 4 November lalu.
Menurut kenyataan UPMKB, setiap kos berkaitan selama tiga tahun pengajian kesemua pelajar ini telah dibiayai sepenuhnya oleh pihak penaja yang merupakan Alumni UPM, sama ada yang sedang berkhidmat di UPM dan juga berjaya dalam industri masing-masing di luar UPM.
Mereka telah menikmati keistimewaan ini sejak tahun satu pengajian serta dipilih dengan kriteria tertentu.
Syarat utama adalah mereka perlu cemerlang dalam akademik, aktif dalam kokurikulum dan diberikan keutamaan kepada para pelajar yang memerlukan bantuan kewangan seperti golongan keluarga B40, asnaf dan pelajar orang kelainan upaya OKU, tambah kenyataan itu.
Pendaftar UPM merangkap Penaja Biasiswa Alumni QKB MPP 04 Muhazam Mansor Alumni UPM Kelas 2006 yang hadir pada sesi itu berkata, semua yang hadir bangga melihat para pelajar yang ditaja dari tahun satu sudah berjaya menerima skrol masing-masing.
Katanya, mereka mengharapkan semua pelajar ini memanfaatkan ilmu dengan sebaiknya untuk diri sendiri, keluarga, bangsa, agama dan juga alma mater.
Semua pelajar sudah bergelar alumni UPM maka jadilah alumni yang memainkan peranan terbaik untuk bersama-sama mengharumkan nama UPM menggalas amanah dan tanggungjawab demi memartabatkan institusi pendidikan negara, ujarnya.
Timbalan Pendaftar Pusat Asasi Sains UPM yang mewakili penaja Chapter Cyperus 92 2.0 Mat Razi Abdullah Alumni UPM Kelas 1992 berkata, para pelajar tajaan Chapter Cyperus 92 2.0 perlu sentiasa mengekalkan hubungan baik agar dapat bersama-sama merealisasikan moto UPM Berilmu Berbakti untuk menjayakan agenda kecemerlangan universiti.
Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM ARCUPM Fahmi Azar Mistar Alumni UPM Kelas 1998 dan 2010 berkata, ARCUPM selaku entiti penghubung antara alumni, alma mater dan pelajar mengalu-alukan kehadiran alumni kembali menyumbang kepada universiti bukan sahaja untuk kecemerlangan universiti tetapi membantu pelajar yang memerlukan bantuan untuk meneruskan pengajian.
Program itu dihadiri Penasihat Undang-Undang UPM Muhammad Adil Ahmad Tajuddin dan Pegawai Psikologi, Bahagian Alumni dan Kaunseling UPMKB Muhammad Abdul Rahim Habib Alumni UPM kelas 2022.

Date of Input: 19/12/2023 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcIAF~