LIMA ORANG PELAJAR TAJAAN ALUMNI UPM BERJAYA TAMATKAN PENGAJIAN PADA MAJLIS KONVOKESYEN UPM KE-47 DI KAMPUS BINTULU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » LIMA ORANG PELAJAR TAJAAN ALUMNI UPM BERJAYA TAMATKAN PENGAJIAN PADA MAJLIS KONVOKESYEN UPM KE-47 DI KAMPUS BINTULU

LIMA ORANG PELAJAR TAJAAN ALUMNI UPM BERJAYA TAMATKAN PENGAJIAN PADA MAJLIS KONVOKESYEN UPM KE-47 DI KAMPUS BINTULU

SERDANG – Seramai lima orang pelajar yang menerima tajaan biasiswa daripada alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menamatkan pengajian masing-masing pada Majlis Konvokesyen UPM ke-47, Sidang 1, di Kampus Bintulu, Sarawak.

Mereka terdiri daripada Nurul A’fifah Nabila Ahmad, Diploma Pengurusan Perladangan Makanan, pelajar tajaan Biasiswa Soh Kim Mee, Mirna Makiri Diploma Pertanian, pelajar tajaan Biasiswa Chapter Cyperus 92, (2.0), Nurul Sajeedah Abd Rahman, Diploma Pertanian, pelajar tajaan Biasiswa Chapter Cyperus 92’ (2.0), Muhammad Mu’izuddin Sakka Diploma Pertania, pelajar tajaan Biasiswa Chapter Cyperus 92’ (2.0) dan Muhammad Khairin Danish Mohd Khairani, Diploma Pengurusan Perladangan Makanan, pelajar tajaan Biasiswa TMJ. Kesemua pelajar ini antara 484 graduan yang berjaya menerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), Sarjana (Master), Bachelor dan Diploma yang telah disampaikan oleh Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Dewan Sri Kenyalang pada 4 November 2023, yang lalu.

Selama tiga tahun pengajian ke semua pelajar ini, setiap kos berkaitan pengajian telah dibiayai sepenuhnya daripada pihak penaja yang merupakan alumni UPM sama ada yang sedang berkhidmat di UPM dan juga yang berjaya dalam industri masing-masing di luar UPM.

Mereka ini telah menikmati keistimewaan ini sejak daripada tahun satu pengajian yang mana, mereka ini dipilih dengan kriteria tertentu. Syarat utama adalah mereka perlu cemerlang dalam akademik, aktif dalam kokurikulum dan diberikan keutamaan kepada para pelajar yang memerlukan bantuan kewangan seperti daripada golongan keluarga B40, asnaf dan juga pelajar Orang Kelaianan Upaya (OKU).

Encik Muhazam Mansor (Alumni UPM Kelas 2006), Pendaftar UPM, merangkap Penaja Biasiswa Alumni QKB MPP 04, antara yang hadir di Kampus Bintulu untuk bersama-sama pelajar dalam sesi temu mesra penaja biasiswa bersama pelajar yang bergraduat.

“Hari ini kami yang hadir bangga melihat para pelajar yang ditaja dari tahun satu, hari ini sudah berjaya menerima skrol masing-masing. Kami mengharapkan pelajar semua memanfaatkan ilmu dengan sebaiknya untuk diri sendiri, keluarga, bangsa, agama dan juga alma mater tercinta. Pelajar semua sudah bergelar alumni UPM maka jadilah alumni yang memainkan peranan yang terbaik untuk kita bersama-sama mengharumkan nama UPM dan bersama-sama dengan Universiti untuk menggalas amanah dan tanggungjawab demi memartabatkan institusi pendidikan negara,” ujar beliau.

Manakala wakil daripada penaja Chapter Cyperus 92’ (2.0) Tuan Haji Mat Razi Abdullah, mengingatkan para pelajar khususnya pelajar tajaan Chapter Cyperus 92’ (2.0) agar sentiasa mengekalkan hubungan yang baik agar dapat bersama-sama merealisasikan moto UPM “berimu berbakti” untuk menjayakan agenda kecemerlangan Universiti.

Bagi Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) yang diwakili oleh Timbalan Pengarah, Encik Fahmi Azar Mistar menegaskan ARCUPM selaku entiti penghubung antara alumni, alma mater dan pelajar, mengalu-alukan kehadiran alumni dalam erti kata lain, bersama-sama kembali menyumbang kepada Universiti bukan sahaja untuk kecemerlangan universiti tetapi juga dapat membantu pelajar yang memerlukan bantuan meneruskan pengajian.

Turut hadir pada sesi itu, Timbalan Pendaftar Pusat Asasi Sains UPM merangkap Wakil Penaja Chapter Cyperus 92’ (2.0) Tuan Haji Mat Razi Abdullah (Alumni UPM Kelas 1992), Penasihat Undang-Undang UPM, Encik Muhammad Adil Ahmad Tajuddin, Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), Encik Fahmi Azar Mistar (Alumni UPM kelas 1998 & 2010) dan Pegawai Psikologi, Bahagian Alumni dan Kaunseling, UPM Kampus Bintulu, Encik Muhammad Abdul Rahim Habib (Alumni UPM kelas 2022).

Date of Input: 19/12/2023 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcHAg~