KUUB METERAI DEKLARASI BERSAMA KPTN-KTI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » KUUB METERAI DEKLARASI BERSAMA KPTN-KTI

KUUB METERAI DEKLARASI BERSAMA KPTN-KTI

BINTULU: Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB) di bawah seliaan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) Sarawak Malaysia telah menandatangani Deklarasi Bersama dengan Konsortium Perguruan Tinggi Negeri Kawasan Timur Indonesia (KPTN-KTI) di Universitas Hasanuddin (Unhas) Makassar Indonesia pada 2 Mac lepas.
Sementara itu, Bengkel Lembaga Penelitian dan Pengabdian Kepada Masyarakat Indonesia (LPPM) turut diadakan di Hotel Unhas & Convention, Tamalanrea Makassar pada 3 Mac yang dihadiri 400 delegasi dari 50 universiti dan politeknik seluruh rantau Borneo dan Indonesia Timur.
Majlis menandatangani deklarasi itu disempurnakan Pengerusi Pengasas KUUB merangkap Pengarah Kampus UPMKB Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini, Setiausaha Kehormat KUUB Dr Jee Teck Weng dan Ketua Sekretariat Kehormat KUUB Fakhzan Buang.
Cadangan kerjasama ini telah diusul oleh Rektor Universitas Lambung Mangkurat Prof Dr Ahmad Alim Bachri semasa Majlis Pertukaran Dokumen Persefahaman (DoU) dan Konvensyen KUUB 2023 pada 8 November 2023 di Banjarmasin, Kalimantan Selatan, Indonesia.
Ahmad yang merupakan pengerusi KPTN-KTI berkata, kerjasama antara dua konsortium ini mempertingkatkan kolaboratif antara semua universiti di Borneo dan Indonesia Timur yang mempunyai budaya dan landskap yang sangat bernilai.
Rektor Unhas Prof Jamaluddin Jompa dalam ucapan pembukaannya berkata, pentingnya kerjasama antara perguruan tinggi untuk memajukan pendidikan tinggi dan penyelidikan di kawasan Indonesia Timur dan Borneo.
Deklarasi ini adalah tonggak sejarah yang menandakan komitmen bersama kami untuk meningkatkan kualiti pendidikan, penelitian dan khidmat masyarakat di wilayah ini, katanya.
Institut Teknologi Kalimantan (ITK) di bawah pimpinan Prof Dr Agus Rubiyanto merangkap Sekretariat KPTN-KTI turut bersetuju untuk menyertai dan bekerjasama dengan KUUB supaya mampu memberi landasan kukuh antara perguruan tinggi di dua kawasan strategik ini.
Sementara itu Fakhzan berkata, rancangan kerjasama antara dua konsortium ini telah dirancang dengan baik dari segi dokumen perjanjian, perbincangan bersama dan mengenal pasti potensi kerjasama dalam pelbagai aspek.
Beliau berkata, pada awal penubuhan KUUB (2022), Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) banyak membantu serta memberi sokongan kuat kepada UPMKB dalam merangka aktiviti KUUB.
Penubuhan KUUB ini melibatkan 16 universiti awam dan milik kerajaan Borneo yang merangkumi Brunei, Indonesia, Sabah dan Sarawak, jelasnya.
Prof Dr Shahrul berkata, kerjasama ini menandakan peranan utama UPMKB, MEITD dan ahli-ahli KUUB dalam mempertingkatkan pendidikan tinggi di rantau Borneo-Indonesia Timur dengan menyasarkan Borneo sebagai satu hab pendidikan tinggi terulung dunia.
Dengan kerjasama ini katanya, pihak kerajaan, kementerian dan universiti mahupun industri di wilayah kita tidak mustahil akan lebih maju dalam pelbagai bidang sekali gus sebagai langkah penting dalam memupuk kerjasama bersama dan usaha inovatif dalam komuniti akademik di rantau Borneo dan Indonesia Timur.
Delegasi KUUB disertai beberapa pewakilan pegawai utama institusi dan agensi iaitu Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Datuk Dr Kasim Md Mansur, Timbalan Setiausaha Tetap MEITD Anielia Siam, Ketua Bahagian Pendidikan mewakili MEITD Donald Henry Nohed, Timbalan Rektor Alumni Universiti Islam Sultan Sharif Ali Brunei Dr Lilly Suzana Shamsu dan Nariza Elias daripada Pejabat Undang-Undang UPM Serdang, beberapa delegasi lain serta barisan rektor Universitas Perguruan Tinggi Kawasan Timur Indonesia.

Date of Input: 21/03/2024 | Updated: 21/03/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcDA6~