JUAL MAKANAN SEGERA DI KAMPUS, PELAJAR CARI DUIT POKET KURANGKAN BEBAN IBU BAPA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » JUAL MAKANAN SEGERA DI KAMPUS, PELAJAR CARI DUIT POKET KURANGKAN BEBAN IBU BAPA

JUAL MAKANAN SEGERA DI KAMPUS, PELAJAR CARI DUIT POKET KURANGKAN BEBAN IBU BAPA

Pelajar Diploma Pertanian, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Muhamad Ariffin Ali, 24, berbagi cerita menjual makanan segera untuk menampung kos perbelanjaan di kampus.
Anak berdarah Kedayan itu berkata, meskipun ibu bapanya masih berkemampuan untuk menampung perbelanjaannya di menara gading, dia perlu berdikari untuk membantu meringankan beban orang tuanya yang sudah berumur.
Kos perbelanjaan pelajar di kampus sebenarnya memakan jumlah yang agak tinggi, bukan sahaja perlu membayar yuran pengajian, tetapi juga kos sara hidup seperti kos makan dan minum, pakaian dan keperluan asas lainnya, katanya.
Tambah anak bongsu daripada tiga beradik itu, selain sedikit sebanyak membantu menampung kos pembelian keperluan asas di kampus, duit hasil jualan juga digunakan sebagai duit poket untuk meluangkan masa lapang bersama rakan-rakan di universiti.
Selain menimba ilmu dan pengalaman, anak remaja seperti saya turut berkeinginan untuk mencipta kenangan manis bersama rakan-rakan semasa bergelar mahasiswa di universiti, ataupun ‘healing’ sekiranya tertekan dengan pelajaran.
Duit hasil daripada jualan mungkin tidak banyak, tetapi sekurang-kurangnya, saya tidak membebankan ibu bapa dengan meminta duit poket sekiranya ingin berseronok bersama rakan-rakan, katanya.
Dalam pada itu, meskipun sibuk sebagai pelajar dan berniaga, Muhamad Arifin tetap aktif dalam aktiviti sosial dan program yang dianjurkan oleh universiti.
Baru-baru ini, beliau telah dinobatkan sebagai Naib Johan bagi Pertandingan Nasyid Kontemporari sempena Festival Kesenian Islam (i-fest) 2023 dan Johan bagi Pertandingan Nasyid Maulidur Rasul 1445 Hijrah 2023 sempena Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo Bintulu (BIKF) edisi ke-16.
Saya yakin setiap pelajar, khususnya pelajar UPM sendiri hendaklah menyumbang bakti kepada universiti melalui penglibatan aktif dalam program-program yang dianjurkan selari dengan moto UPM, iaitu Berilmu Berbakti, katanya.
Muhamad Arifin turut berkata, ibu bapanya merupakan pembakar semangat buat dirinya untuk belajar bersungguh-sungguh meskipun terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi, dan dia berjanji akan menamatkan pengajian di peringkat Diploma dengan jayanya serta melanjutkan pengajian ke peringkat Bacelor.

Date of Input: 19/12/2023 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcDAe~