JALINAN KERJASAMA UPM DAN BAOTOU TEACHER COLLEGE DALAM MEMPERKASA INOVASI DAN KEUSAHAWANAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » JALINAN KERJASAMA UPM DAN BAOTOU TEACHER COLLEGE DALAM MEMPERKASA INOVASI DAN KEUSAHAWANAN

JALINAN KERJASAMA UPM DAN BAOTOU TEACHER COLLEGE DALAM MEMPERKASA INOVASI DAN KEUSAHAWANAN


Susulan daripada beberapa sesi perbincangan secara atas talian antara UPM dan Baotou Teacher College, Inner Mongolia, China mengenai kerjasama dalam penyelidikan dan jalinan mobiliti pegawai akademik dan pelajar, Prof. Madya Ts Dr. Wong Tze Jin dari Universiti Putra Malaysia telah dijemput untuk berkunjung ke Baotou Teacher College bagi lawatan kerja dan perbincangan kerjasama rakan strategik.

Kedatangan PM Dr Wong telah disambut meriah oleh Zhang Donghu, Dekan Sekolah Inovasi dan Pendidikan Keusahawanan, Baotou Teacher College, Feng Ping, Timbalan Dekan, Yang Wenting, Timbalan Pengarah Pusat Pertukaran Dan Kerjasama Antarabangsa, dan kakitangan Sekolah Inovasi Dan Pendidikan Keusahawanan.

Antara intipati perbincangan kerjasama strategik kedua-dua pihak adalah membincangkan hala tuju program mobiliti dan penyelidikan yang berunsurkan inovasi dan keusahawanan yang mampu meningkatkan daya saing kedua-dua universiti di peringkat global.

Menyedari kehendak pemain industri global yang mahukan siswazah yang mempunyai kemahiran kebolehpasaran, kerjasama strategik ini dapat memperkasa pembangunan modal insan yang kreatif dan inovatif di samping menerapkan elemen keusahawan dalam diri siswazah.

PM Dr Wong turut dilantik sebagai perunding pakar di Pusat Penyelidikan Inovasi dan Keusahawanan "Belt and Road", Baotou Teacher College. Kerjasama strategik pendidikan tinggi antara Malaysia dan China bakal memberi manfaat kepada universiti dan komuniti setempat sekali gus mendukung Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (NHESP) 2020 dalam usaha pengantarabangsaan Pendidikan tinggi Malaysia melalui program akademik, penyelidikan dan Pembangunan.

Selain itu, empat orang pensyarah dari Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, UPMKB iaitu Dr. Karmilah Binti Abdullah, Dr. Sharon Ong Yong Yee, Dr Koo Lee Feng dan PM Dr Wong Tze Jin turut dilantik sebagai profesor pelawat di Baotou Teacher College. Pelantikan ini adalah satu penghormatan besar kepada staf akademik UPMKB untuk berkongsi ilmu dalam bidang kepakaran agar memberi manfaat kepada warga kedua-dua universiti.

Diharapkan pelantikan tersebut dapat menjadi platform pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia di Inner Mongolia sekaligus menyokong kecemerlangan, keupayaan, pengantarabangsaan dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, mobiliti pelajar, kebolehpasaran graduan serta pembangunan staf universiti dan membawa Malaysia khususnya UPM ke tahap yang lebih tinggi, iaitu untuk dikenali di peringkat antarabangsa.

Date of Input: 22/12/2023 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEbXA5~