INTERNATIONAL POSTGRADUATE SEMINAR ON AGRICULTURE AND FORESTRY 2023 (IPSAF2023) | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » INTERNATIONAL POSTGRADUATE SEMINAR ON AGRICULTURE AND FORESTRY 2023 (IPSAF2023)

INTERNATIONAL POSTGRADUATE SEMINAR ON AGRICULTURE AND FORESTRY 2023 (IPSAF2023)

Pada 7 dan 8 September 2023 yang lalu telah berlangsungnya program International Postgraduate Seminar on Agriculture and Forestry 2023 (IPSAF2023) yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan yang telah mendapat penyertaan seramai 54 orang peserta daripada 11 negara, termasuk Jepun, India, Indonesia dan Nigeria.

Dr. Keeren Sundara Rajoo, Pengarah program IPSAF2023 berkata, kehadiran peserta dari pelbagai negara telah menjadikan IPSAF2023 sebagai platform antarabangsa yang berprestij bagi pertukaran pengetahuan dan pengalaman dalam bidang pertanian dan perhutanan, sekaligus memperkukuhkan status UPMKB sebagai pusat penyelidikan yang penting dalam bidang pertanian dan perhutanan di peringkat global.

IPSAF2023 telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini (Pengarah Kampus UPMKB) dan beliau telah menyoroti kepentingan kerjasama strategik di antara institusi-institusi akademik. Beliau menekankan bahawa kerjasama di kalangan universiti-universiti di peringkat antarabangsa adalah mustahak dalam menghadapi cabaran global yang berkaitan dengan pertanian dan perhutanan. “Saya berharap platform ini dapat membantu untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pertanian dan perhutanan yang mampan dalam menangani cabaran perubahan iklim, keselamatan makanan, dan kemerosotan alam sekitar,” ujar beliau.

Seminar IPSAF2023 bertemakan "Penyelesaian Mampan untuk Masa Depan yang Mampan" telah memberikan platform untuk pelajar pascasiswazah membentangkan penyelidikan dan perkembangan terkini dalam bidang pertanian dan perhutanan. Antara penyelidikan yang telah dibentangkan termasuk pembangunan baja organik untuk penanaman padi, potensi Ghana untuk memenuhi permintaan domestik kelapa sawit secara lestari dan pembentukan biofilm menggunakan rumpai laut merah untuk digunakan sebagai bahan pembungkusan organik. Selain itu, IPSAF2023 juga telah menjemput dua penceramah ucaptama, iaitu Prof. Madya Dr. Mami Irie (Tokyo University of Agriculture, Japan) dan Prof. Dr. Mukesh Singh (Teerthanker Mahaveer University, India).

Dalam ucapan penutupnya, Dr. Zamri Bin Rosli (Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan) menyatakan keyakinannya bahawa perbincangan dan pembentangan di IPSAF2023 akan membantu memajukan pemahaman kita tentang cabaran yang dihadapi oleh pertanian dan perhutanan, dan untuk mengenal pasti penyelesaian yang berpotensi.

Date of Input: 12/10/2023 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEbWAQ~