INSTITUT EKOSAINS BORNEO UPMKB BAKAL MENJADI PEMANGKIN PENYELIDIKAN PRODUK HILIRAN BERNILAI TAMBAH BERASASKAN BIOJISIM KELAPA SAWIT | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » INSTITUT EKOSAINS BORNEO UPMKB BAKAL MENJADI PEMANGKIN PENYELIDIKAN PRODUK HILIRAN BERNILAI TAMBAH BERASASKAN BIOJISIM KELAPA SAWIT

INSTITUT EKOSAINS BORNEO UPMKB BAKAL MENJADI PEMANGKIN PENYELIDIKAN PRODUK HILIRAN BERNILAI TAMBAH BERASASKAN BIOJISIM KELAPA SAWIT

PAMERAN dan Persidangan Teknologi Pengilangan Minyak Sawit (POMtec) 2023 anjuran Persatuan Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA) telah diadakan pada 8 hingga 9 Ogos lepas di Hotel Imperial, Miri.

POMtec 2023 bertemakan “Toward Sustainable & ValueAdded Business Operation” dianjurkan bagi mengetengahkan keberkesanan teknologi terkini yang menggalakkan kemampanan seperti proses mesra alam, pengurangan sisa serta kecekapan tenaga dalam operasi pengilangan minyak sawit. Institut EkoSains Borneo (IEB), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) telah dijemput dan disediakan ruang pameran untuk bersamasama mempamerkan hasil inovasi penyelidikan dan penerbitan sepanjang program POMtec berlangsung.

Majlis Perasmian POMtec 2023 telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof. Beliau juga telah melawat ruang pameran IEB, UPMKB bagi melihat produk inovasi penyelidikan dan penerbitan yang telah dihasilkan oleh UPM yang berkaitan dengan kelapa sawit dan biojisimnya.

Semasa lawatan tersebut Fadillah juga diiringi Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wiayah Sarawak (M-FICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Pengerusi Persatuan Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA) Eric Kiu Kwong Seng serta dif-dif terhormat yang lain.

Taklimat semasa lawatan tersebut telah disampaikan oleh Pengarah IEB, UPMKB Dr Syeed SaifulAzry Osman Al Edrus. Beliau berminat terhadap hasil penyelidikan dan penerbitan yang ditunjukkan dan turut mencadangkan pihak IEB, UPMKB untuk berbincang lebih lanjut bersama M-FICORD bagi melihat potensi kolaboratif yang boleh diadakan bagi membangunkan produk hiliran berasaskan biojisim kelapa sawit di Sarawak.

Menerusi program yang dianjurkan, Timbalan Perdana Menteri turut menggesa pihak terlibat untuk terus bereksperimen dengan prosedur dan strategi inovatif untuk menambah nilai kepada rantaian pengeluaran minyak sawit negara.

Turut melawat ruang pameran IEB, UPMKB ialah Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam, Sarawak Dr Hazland Abang Hipni.

Pada majlis penutupan, pihak IEB, UPMKB sempat bertukar pandangan bersama dengan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wiayah Sarawak (M-FICORD) Maclaine @ Martin Ben.

Dua orang penyelidik dari UPMKB iaitu Prof Dr Patricia King Jie Hung (Timbalan Pengarah IEB, UPMKB) dan dan Dr Sivasangar Seenivasagam (Pensyarah Kanan, Jabatan Sains dan Teknologi, UPMKB) telah dijemput untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka Dalam POMtec 2023. Turut serta dalam program tersebut ialah Dr Latifah Omar (Ketua Laboratori Biodiversiti Borneo, IEB, UPMKB) bersama Dr Mugunthan Perumal (Pegawai Penyelidik, IEB, UPMKB).

Sempena pameran tersebut, IEB, UPMKB turut mempromosikan program pengajian yang ditawarkan di UPMKB seperti Program Persediaan Diploma, Diploma, Bacelor, Sarjana dan Doktor Falsafah yang telah dikongsikan kepada para pelajar serta peserta POMtec yang hadir.

Turut hadir memeriahkan program tersebut ialah rakan-rakan dari Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan pemain industri.

Date of Input: 19/09/2023 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEbWAC~