IMPIAN SARAWAK JADI PENGEKSPORT BERAS BERADA DI LANDASAN TEPAT | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » IMPIAN SARAWAK JADI PENGEKSPORT BERAS BERADA DI LANDASAN TEPAT

IMPIAN SARAWAK JADI PENGEKSPORT BERAS BERADA DI LANDASAN TEPAT

GEDONG: Impian Sarawak untuk menjadi negeri pengeksport beras kini berada di landasan tepat dan semakin hampir direalisasikan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak memerlukan beberapa tahun lagi iaitu selewat-lewatnya 2030 untuk menjadi pengeksport beras.
Sehubungan itu jelas beliau, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan Sarawak dalam memantapkan lagi pengeluaran beras termasuklah menaik taraf sistem aliran dan perparitan di kawasan Lubok Punggor.
Jadi saya telah meluluskan untuk membuat pengairan di kawasan Lubok Punggor sebanyak RM30 juta dan saya telah meminta pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) untuk memulakan projek ini.
Usaha ini adalah untuk memastikan pengairan air ke kawasan sawah padi mencukupi, jelas beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Jalinan Kasih Tani Beranyi bersama Premier Sarawak di Kampung Lubok Punggor pada Isnin.
Program tersebut anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) Cawangan Bintulu dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Samarahan.
Selain daripada dana RM30 juta, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong memberitahu pihaknya akan menggandakan lagi jumlah import benih beras untuk ditanam di kawasan-kawasan lain selain Lubok Punggor.
Keduanya ialah benih kerana kita perlukan benih yang mencukupi.
Benihnya mesti ada apabila padi sudah dituai, tanah tersebut dibiarkan kosong selama sebulan barulah kita tanam dengan padi yang baharu.
Barulah kita dapat menambahkan pengeluaran beras dari kawasan ini, tambah beliau.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, Sarawak tidak akan mengalami masalah pengimportan baja kerana negeri ini kini telah memiliki kilang pemprosesan amonia sendiri di Bintulu.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, jumlah keluaran beras yang lebih banyak daripada jumlah penggunaan rakyat Sarawak membolehkan negeri ini mengurangkan kebergantungan kepada beras import sekali gus mengawal harga beras agar sentiasa berada di tahap harga mampu beli oleh rakyatnya.
Hadir sama, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk lr Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Dato Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Residen Bahagian Samarahan, Mohammad Irwan Bahari Bujang serta tetamu-tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS

Date of Input: 28/02/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcAAI~