IBU BAPA SAYU, SEBAK TERIMA SKROL DIPLOMA ANAK MENINGGAL AKIBAT BARAH OTAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » IBU BAPA SAYU, SEBAK TERIMA SKROL DIPLOMA ANAK MENINGGAL AKIBAT BARAH OTAK

IBU BAPA SAYU, SEBAK TERIMA SKROL DIPLOMA ANAK MENINGGAL AKIBAT BARAH OTAK

BINTULU, 4 Nov – Hati saya masih tidak dapat menerima anak saya telah pergi, kalau dia ada sekarang dia yang akan berada di pentas ini menerima skrolnya hari ini.
Mendiang seorang anak yang peramah dan tidak pernah mempunyai penyakit serius dan apabila dimaklumkan doktor mengenai penyakit anak saya luruh hati saya untuk menerima kenyataan itu, kata Kandang Anak Nuyaw, ayah kepada graduan mendiang Patrick Anak Kandang yang meninggal dunia pada 3 Ogos 2023.
Kandang, 56, dari Kampung Bintangor, Sarawak mengambil skrol bersama isterinya, Kanching Anak Grinang bagi pihak Mendiang Patrick Diploma Perhutanan daripada Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Konvokesyen ke-47 UPM Sidang 1 UPM Kampus Bintulu (UPMKB) di Dewan Sri Kenyalang UPMKB di sini, hari ini.
Beliau turut berterima kasih kepada pensyarah mendiang Patrick di UPMKB yang melawat mendiang ketika mendiang di Hospital Sibu.
Mendiang Patrick tidak memaklumkan kepada pensyarahnya yang sebenarnya beliau sakit kerana mahu menamatkan latihan industrinya dan mahu bergraduat dalam tempoh yang ditetapkan, katanya.
Menurut Kandang, Mendiang Patrick, merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan harapan keluarga, mulai sakit semasa menjalani latihan praktikal di Sabah pada awalnya doktor tidak dapat mengesan penyakit mendiang.
Kemudiannya apabila mendiang kembali ke kampus pada Julai lalu, beliau mengadu sakit semula dan kami membawa pulang ke rumah untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sibu tetapi ianya terlewat kerana sel barah itu telah merebak ke dalam darah, katanya.

Date of Input: 19/12/2023 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcXAb~