HAMPIR PUTUS ASA KERANA KEHILANGAN IBU KANDUNG TERCINTA, GRADUAN OKU BERJAYA TAMATKAN PENGAJIAN IJAZAH | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » HAMPIR PUTUS ASA KERANA KEHILANGAN IBU KANDUNG TERCINTA, GRADUAN OKU BERJAYA TAMATKAN PENGAJIAN IJAZAH

HAMPIR PUTUS ASA KERANA KEHILANGAN IBU KANDUNG TERCINTA, GRADUAN OKU BERJAYA TAMATKAN PENGAJIAN IJAZAH

BINTULU, 4 Nov – Hampir putus asa kerana kehilangan ibu kandung tercinta, graduan Orang Kurang Upaya (OKU) akhirnya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah.
Graduan kurang upaya fizikal (PH), Larissia Sandun, 26, berjaya menggenggam segulung ijazah Bacelor Sains Pembangunan Manusia dengan Pengurusan (Kepujian) di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) sempena Majlis Konvokesyen UPM ke-47 Sidang 1 Tahun 2023.
Saya berasa sangat bersyukur kerana telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah setelah sembilan tahun melanjutkan pengajian di universiti ini, bermula dengan pengajian saya pada tahun 2015 di peringkat Pra Diploma, katanya.
Anak berdarah Iban itu berbagi cerita pahit manis perjalanannya sepanjang bergelar mahasiswi OKU di UPMKB.
Tuhan memberikan ujian yang berat kepada saya sebagai manusia kerana kekurangan yang ada pada diri saya, ditambah lagi dengan dugaan bertimpa setelah ibu kandung saya disahkan menghidap kanser dan akhirnya pergi meninggalkan saya buat selamanya.
Saya berkali-kali menyatakan keinginan untuk berhenti belajar apabila mengetahui bahawa ibu kandung saya menghidap kanser tahap empat dan hampir tersungkur apabila kehilangan beliau. Saya depresi dan harus mendapatkan konsultasi daripada kaunselor, katanya.
Tambahnya, dia perlu bangkit untuk meneruskan dan menamatkan pengajian kerana dia yakin bahawa ibunya yang tercinta pasti ingin melihat dirinya melakar kejayaan di menara gading meskipun kini sudah tiada lagi di sisi.
Ibu ialah sumber inspirasi dan pembakar semangat buat saya. Meskipun ibu kandung saya sudah tiada, saya tahu betapa besarnya harapan beliau untuk melihat saya berjaya, begitu juga dengan harapan ibu angkat saya yang kini merupakan tunjang utama saya dalam segenap hal.
Saya bersyukur kerana Tuhan masih sayangkan saya dengan menghadirkan ibu angkat, pensyarah dan rakan-rakan yang menyokong saya, katanya.
Graduan yang bercita-cita untuk menjadi penceramah motivasi itu turut berkata, kepincangan dalam kehidupan bukanlah sesuatu yang harus dijadikan tembok untuk meneruskan hidup.
Saya manusia biasa, sering kali berfikiran negatif dan merasa tidak boleh melakukan apa-apa dengan baik tetapi apabila pincang secara lahiriah, saya perlu kuat, dan dengan itu saya percaya bahawa apabila kita mampu merancang dengan baik, maka kita akan gembira dan bersyukur untuk meneruskan kehidupan meski merasa sukar.
Sebagai seorang OKU, saya pernah dibuli kerana keadaan fizikal saya yang membataskan pergerakan saya ke mana-mana, dan saya pernah digelar sebagai ‘Si Capik’. Saya merendam perasaan kerana atas kekurangan saya, tetapi apa yang boleh saya sajikan kepada mereka adalah dengan kejayaan yang saya peroleh, katanya.
Dalam pada itu, Larissia turut membawa suara golongan OKU yang mengharapkan agar masyarakat lebih cakna akan hak golongan OKU, khususnya dalam bidang pendidikan kerana mereka juga memiliki hasrat untuk menjadi golongan berilmu dan seterusnya berbakti kepada keluarga dan masyarakat.

Date of Input: 19/12/2023 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcFAI~