BRUNEI MINAT KERJASAMA DENGAN SARAWAK KHASNYA DALAM PENANAMAN PADI: DR RUNDI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » BRUNEI MINAT KERJASAMA DENGAN SARAWAK KHASNYA DALAM PENANAMAN PADI: DR RUNDI

BRUNEI MINAT KERJASAMA DENGAN SARAWAK KHASNYA DALAM PENANAMAN PADI: DR RUNDI

KUCHING: Negara Brunei Darussalam berminat untuk memupuk kerjasama dengan Sarawak khususnya dalam bidang penanaman padi bagi meningkatkan keterjaminan makanan di kedua-dua belah sempadan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wiayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kerjasama tersebut boleh dilaksana menerusi pertukaran idea dan teknologi.
Dr Rundi berkata, beliau menyedari kepentingan kerjasama itu susulan pertemuan baru-baru ini dengan Dato Dr Abdul Manaf Metussin yang merupakan Menteri Sumber Utama dan Pelancongan Negara Brunei Darussalam.
Perbincangan kami dengan Dr Abdul Manaf berkisar tentang pelbagai perkara pertanian, khususnya penanaman padi.
Menurutnya, Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan minat yang ketara untuk bekerjasama dengan kita.
Salah satu bidang utama yang kita sedang lihat ialah memastikan keselamatan atau jaminan makanan, dengan tumpuan khusus kepada penanaman padi, ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kunjungan hormat delegasi Negara Brunei Darussalam yang diketuai oleh Dr Abdul Manaf di sini, malam Rabu.
Pada majlis itu, Dr Rundi turut mengetengahkan kerjasama Sarawak dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu yang menekankan potensi peningkatan pengeluaran padi melalui penggunaan benih padi hibrid dan inovasi.
Perbincangan juga dilanjutkan kepada pengkomersialan produk ternakan seperti lembu kerana Brunei telah menceburi pengkomersialan daging selari dengan usaha Sarawak dalam hal itu, jelasnya.
Sementara itu, mengenai tahap sara diri (SSL) Sarawak yang rendah iaitu hanya 12.5 peratus dalam ternakan, Dr Rundi berkata terdapat pengiktirafan bersama tentang keperluan untuk meningkatkan populasi lembu bagi merealisasikan matlamat mengkomersialkan produk ternakan.
Selain itu katanya, perbincangan turut merangkumi pembangunan teknologi akuakultur dengan potensi pengkomersialan yang bertujuan mewujudkan hasil yang saling menguntungkan bagi Negara Brunei Darussalam dan Malaysia, khususnya Sarawak.
Susulan sidang media itu, Dr Rundi dan tetamu kenamaan lain turut menghadiri majlis makan malam bersama delegasi Negara Brunei Darussalam di tempat yang sama.
Antara yang hadir ialah dua Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Datuk Martin Ben serta Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sirai Daha bersama pegawai lain.

Date of Input: 13/03/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcBAQ~