BERSATU MENUJU PENGHIJAUAN DI MASA DEPAN: PEMULIHARAAN KAWASAN TERJEJAS DI PERINDUSTRIAN SAMALAJU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » BERSATU MENUJU PENGHIJAUAN DI MASA DEPAN: PEMULIHARAAN KAWASAN TERJEJAS DI PERINDUSTRIAN SAMALAJU

BERSATU MENUJU PENGHIJAUAN DI MASA DEPAN: PEMULIHARAAN KAWASAN TERJEJAS DI PERINDUSTRIAN SAMALAJU

BINTULU: Program penanaman pokok anjuran bersama Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB), Press Metal Bintulu Sdn Bhd, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), dan Jabatan Alam Sekitar Cawangan Bintulu telah berjaya dijalankan di dalam kawasan Perindustrian Samalaju (SIP) pada 6 Julai 2023 yang lepas. Kolaborasi antara agensi ini berkomited dengan tujuan untuk memelihara dan memulihkan kawasan terjejas melalui program penanaman pokok.

Acara itu selaras dengan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2023, 60 Tahun Sarawak Merdeka, dan, Ulang Tahun ke-45 Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA). Program penghijauan dijangka memainkan peranan penting dalam menbaikpulih kemerosotan alam sekitar dan menggalakkan pemuliharaan dalam jangka masa panjang di kawasan SIP tersebut. Menyedari keperluan mendesak untuk memulihkan kawasan yang terdegradasi, program penanaman pokok ini telah dilaksanakan melalui usaha kerjasama pelbagai agensi. Program ini memberi tumpuan kepada melaksanakan penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan menggunakan penanaman pokok sebagai pendekatan utama untuk memulihkan landskap yang terdegradasi tersebut.

"Program pemulihan mewakili pendekatan transformatif untuk memulihkan ekosistem kita yang rosak dan membaikpulih kawasan yang terjejas," kata Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, Pengarah Kampus UPMKB. "Melalui program penanaman pokok ini, ianya akan menggalakkan amalan pengurusan tanah yang mampan, serta memulihkan biodiversiti, meningkatkan kesihatan tanah, dan mewujudkan ekosistem berdaya tahan yang memberi manfaat kepada alam semula jadi dan komuniti," katanya dalam satu kenyataan. UPMKB juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Press Metal Bintulu Sdn Bhd yang telah menaja sepenuhnya program tersebut.

Menurut Encik Abdul Mazli Hafiz Bin Abdul Malik (Ketua JAS Cawangan Bintulu), pokok-pokok yang ditanam tersebut mampu meningkatkan kualiti udara dengan menapis bahan pencemar. Selain itu, beliau turut menasihatkan masyarakat di dalam SIP agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka secara haram bagi mengelak pencemaran udara semasa musim kering ini.

Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato Majang Anak Renggi, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.70 Samalaju. Beliau menegaskan bahawa “Memandangkan kita mengalami pembangunan pesat, aspek persekitaran bersih yang mampan di Bintulu tidak boleh dipandang remeh kerana alam sekitar adalah penting kepada semua hidupan terutamanya untuk generasi akan datang”.

Pokok-pokok yang ditanam tersebut secara tidak langsung menggalakkan pelbagai impak positif seperti memerangi perubahan iklim dengan menyerap karbon dioksida, meningkatkan kualiti air melalui penapisan yang dipertingkatkan dan mengurangkan hakisan, dan mewujudkan habitat untuk spesies fauna lain. Sebanyak 300 anak pokok dua spesies tempatan iaitu Merawan Siput Jantang (Hopea odorata), dan Belian (Eusideroxylon Zwageri); dan 50 pokok landskap terdiri daripada dua spesies iaitu Pokok Doa (Bucida molineti) dan Pokok Sangkakala (Tabebuia pentaphylla) telah ditanam pada majlis tersebut.

Seramai 100 peserta terlibat secara aktif dalam program ini terdiri daripada Press Metal Bintulu Sdn Bhd., Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), JAS Cawangan Bintulu, serta kakitangan UPMKB. Ia amat penting untuk memulihkan kawasan yang terdegradasi, memelihara biodiversiti, dan mencipta masa depan yang mampan dan berdaya tahan untuk generasi akan datang dengan bekerjasama.

Date of Input: 21/07/2023 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcDAo~