BERI PENEKANAN & KEUTAMAAN KEPADA R&D DALAM SEKTOR MAKANAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » BERI PENEKANAN & KEUTAMAAN KEPADA R&D DALAM SEKTOR MAKANAN

BERI PENEKANAN & KEUTAMAAN KEPADA R&D DALAM SEKTOR MAKANAN

KUCHING: Penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor pengeluaran makanan, beras, buah-buahan dan produk perikanan termasuk udang perlu diberi penekanan serta keutamaan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau yakin industri pertanian akan memberikan sumbangan yang signifikan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) Sarawak menjelang tahun 2026 dan 2027.

Menurutnya, ia secara tidak langsung akan membuka peluang baru untuk pekerjaan hiliran di negara ini. “Sarawak mempunyai potensi untuk menjadi pengeluar makanan yang penting dalam pasaran dengan penekanan kepada kualiti produk.

“Keutamaan sebagai pengeluar makanan yang berkualiti akan membantu memperkukuhkan kedudukan Sarawak di arena antarabangsa,” katanya. Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Ngiling Bidai Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) di kediaman Menterinya, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, di sini pada Sabtu.

Dalam ucapan sama, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari juga berhasrat agar Sarawak memainkan peranan penting dalam menghasilkan makanan berkualiti untuk mengatasi cabaran kekurangan makanan berkualiti di masa depan. Katanya, mengikut ramalan pakar, jumlah penduduk global dijangka meningkat dari kira-kira 7 bilion orang pada masa kini kepada kira-kira 10 bilion menjelang tahun 2050.

“Dalam usaha mencapai matlamat ini, kita perlu ramai pakar dalam bidang berkenaan termasuk pakar diet, ahli makanan dan mereka yang mahir dalam aktiviti hiliran makanan.

“Kerajaan Sarawak telah memberikan sokongan kewangan kepada Universiti Putra Bintulu untuk menjalankan penyelidikan dan meneroka teknologi baharu dalam sektor makanan,” tambah beliau. Terdahulu, kedatangan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang disambut mesra oleh Dato Sri Dr Stephen Rundi dan isteri, Datin Sri Loreta Sawot bersama seluruh ahli keluarga termasuk kakitangan M-FICORD dan para jemputan.

Hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Profesor Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah serta Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Turut hadir, Timbalan Menteri M-FICORD Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Martin Ben, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Datuk Malcom Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Dato Majang Renggi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Jefferson Jamit Unyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom, ADUN Satok Dato Ibrahim Baki dan ADUN Tebedu Simon Sinang Bada.

Sambutan kedatangan itu turut dirancakkan lagi dengan persembahan tarian ngajat dan iringan muzik iban daripada penari Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) sebelum Premier Sarawak dan isteri bergerak ke ruang legar rumah berkenaan bagi sesi bergambar beramai-ramai bersama dif-dif kehormat dan seterusnya bersama keluarga Dato Sri Dr Stephen Rundi sebagai tanda kenangan.

Sejurus selepas itu, jamuan makan bermula yang mana semua jemputan dijemput menjamu juadah yang disediakan sambil dihiburkan dengan lagu-lagu sempena Hari Gawai daripada kumpulan penyanyi dan pemuzik jemputan.

Date of Input: 07/07/2023 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEbWAO~