90 PESERTA SERTAI LATIHAN PENGEMBANGAN PERTANIAN TANAMAN HIDROPONIK DI PULAU BRUIT | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » 90 PESERTA SERTAI LATIHAN PENGEMBANGAN PERTANIAN TANAMAN HIDROPONIK DI PULAU BRUIT

90 PESERTA SERTAI LATIHAN PENGEMBANGAN PERTANIAN TANAMAN HIDROPONIK DI PULAU BRUIT

BINTULU: Seramai 90 peserta terdiri penduduk Kampung Badong, Daro dan Kampung Semop di Pulau Bruit telah menyertai latihan pengembangan pertanian tanaman hidroponik sempena Program Outreach Pendidikan Tinggi Daro baru-baru ini.
Program anjuran Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Daro, Mukah itu diadakan dalam dua sesi.
Sesi pertama melibatkan 38 peserta dari Kampung Badong, Daro dan sesi kedua untuk 52 peserta Kampung Semop yang merangkumi pelbagai kaum, umur dan taraf pendidikan.
Peserta tersebut merupakan antara penduduk yang berminat dalam tanaman hidroponik secara sara hidup di rumah atau ingin mengusahakan tanaman hidroponik
dalam skala besar.
Penyelaras programnya merangkap fasilitator projek, Sudirman Asmadi berkata, latihan itu merupakan serampang dua mata dalam meningkatkan kesedaran pelajar untuk melanjutkan pengajian ke universiti dan memberi kefahaman masyarakat tentang peranan universiti melalui aktiviti pengembangan pertanian tanaman hidroponik.
Beliau berkata, kaedah latihan tanaman hidroponik adalah melalui perkongsian kemahiran dan pengalaman dengan mengajar secara teknikal dari mula penyediaan tapak hingga proses tanaman dan penuaian.
Untuk peserta peringkat luar bandar seperti kawasan kampung ini, kami mengajar kaedah membina infrastruktur sistem hidroponik sara hidup atau skala kecil, katanya.
Katanya, peralatan disediakan juga boleh didapati di sekitar kedai-kedai kawasan kampung atau bandar berhampiran.
Pada masa sama Ketua Kaum Kampung Badong, Haslimi Hassan berkata, pihaknya mengalu-alukan latihan tanaman hidroponik seumpamanya yang akan menjadi pengalaman baharu bagi penduduk kampung terutamanya dalam mengenali sistem hidroponik.
Kita berterima kasih atas pemilihan kampung ini dalam program seumpamanya dengan harapan akan diteruskan pada masa akan datang, katanya.
Menurutnya, penyertaan peserta terdiri pelbagai kategori pekerjaan iaitu petani, guru, pejawat awam, usahawan, pelajar sekolah menengah serta pelbagai kaum antaranya Melanau, Melayu dan Iban.
Sementara bagi Ketua Kaum Kampung Semop, Kamri Haron berkata, beliau gembira melihat pelaksanaan program latihan ini diadakan dengan jayanya di Kampung Semop.
Turut diadakan dalam program itu ialah demonstrasi pembuatan keropok lekor oleh pelajar-pelajar UPMKB yang diketuai Pegawai Tadbir Kolej Sri Rajang, UPMKB, Rosidah Basir.

Date of Input: 30/01/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcPAp~