80 PELAJAR UPMKB BERJAYA TANAM 400 TUMBUHAN HIASAN MELALUI INISIATIF PROGRAM KELESTARIAN HIJAU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » 80 PELAJAR UPMKB BERJAYA TANAM 400 TUMBUHAN HIASAN MELALUI INISIATIF PROGRAM KELESTARIAN HIJAU

80 PELAJAR UPMKB BERJAYA TANAM 400 TUMBUHAN HIASAN MELALUI INISIATIF PROGRAM KELESTARIAN HIJAU

BINTULU: Dalam tempoh dua jam, seramai 80 pelajar Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) berjaya menanam 400 tumbuhan hiasan dalam polibeg melalui inisiatif Program Kelestarian Hijau universiti tersebut pada Isnin.

Kejayaan tersebut adalah hasil usaha gigih dan kerjasama luar biasa serta komitmen para pelajar bagi memastikan keberkesanan program tersebut.
Pendorong utama inisiatif itu ialah Pensyarah Seni Bina Landskap/Penghijauan Bandar dan Ekologi Landskap Owen Yeo Thian Seng.

Owen berkata, beliau berbangga dengan pencapaian pelajar-pelajar tersebut memandangkan misi mereka bukan sekadar untuk mendidik, tetapi juga memberi galakan kepada generasi penerus agar aktif dalam memelihara kelestarian.

Pelajar-pelajar ini membuktikan mereka telah mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari, katanya.

Senada dengannya, Penolong Pegawai Pertanian Kanan universiti itu Anila Brahim berkata, inisiatif seperti ini amat penting dalam menangani isu kelestarian global.
Katanya, kelestarian bukan konsep abstrak, sebaliknya satu keperluan global.

Dengan melibatkan para pelajar dalam projek praktikal seperti ini akan mempersiapkan mereka menjadi ejen perubahan yang positif dalam bidang berkaitan, jelasnya.
Menurutnya, program kelestarian hijau di UPMKB merupakan mercu tanda inspirasi dan optimisme untuk masa depan yang lebih lestari.

Komitmen peserta dan bimbingan penyelaras mereka mencerminkan potensi untuk perubahan positif dalam bidang pertanian dan pemeliharaan alam sekitar, tambahnya.
Sasaran program itu juga adalah untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan dan Pembangunan Mampan Pendidikan untuk para pelajar yang mengikuti Kursus CHS2501- Tumbuhan Hiasan dan Hortikultur Lanskap.

Program itu di bawah arahan Owen, kakitangan Fakulti Sains Pertaniandan Perhutanan juga dari Jabatan Sains Tanaman UPMKB Manggi Rabong dengan sokongan Anila, Pembantu Operasi Pusat Pertanian Putra Nicholas Along, Penolong Am Alexson Tommy serta para pelajar.

Penanaman tumbuhan hiasan ini memberi tumpuan kepada pembiakan pelbagai jenis spesies antaranya (nama sainstifiknya) Sansevieria trifasciata, Antigonon leptopus, Wodyetia bifurcate, Ixora coccinea, Helicona rostrata, Zephyranthes rosea dan Chlorophytum comosum.

Tumbuhan-tumbuhan ini dipilih secara teliti kerana peranannya dalam meningkatkan keindahan persekitaran dan menyumbang kepada alam sekitar lebih hijau dan sihat sekali gus menerap kesedaran dalam kalangan pelajar tentang tanggungjawab memelihara alam sekitar dan kepentingan pembangunan lestari.

Dengan mengambil bahagian secara aktif dalam pembiakan vegetatif dan biji benih tumbuhan hiasan ini, para pelajar tidak hanya mempelajari kepelbagaian hortikultur tetapi juga peranan penting mereka dalam mencapai matlamat kelestarian secara lebih meluas.

Date of Input: 19/09/2023 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcAAW~