27 SUKARELAWAN UPMKB BANTU BINA SALURAN BEKALAN AIR BERSIH DI TELANG USAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » 27 SUKARELAWAN UPMKB BANTU BINA SALURAN BEKALAN AIR BERSIH DI TELANG USAN

27 SUKARELAWAN UPMKB BANTU BINA SALURAN BEKALAN AIR BERSIH DI TELANG USAN

BINTULU, 13 Mac : Seramai 27 orang sukarelawan, terdiri daripada mahasiswa Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) serta tiga orang pegawai pengiring yang terdiri daripada pensyarah dan pegawai di UPMKB telah menyertai projek gotong-royong membina saluran bekalan air bersih di kawasan pedalaman DUN N77 Telang Usan pada 6 Mac sehingga 11 Mac yang lalu.
Pengarah Kampus UPMKB, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini berkata, projek komuniti ini merupakan khidmat masyarakat UPMKB bagi membantu masyarakat di kawasan pedalaman Telang Usan menikmati bekalan air bersih dengan menaik taraf saluran paip air sedia ada yang telah uzur.
Tambah beliau, melalui projek in juga merupakan inisiatif Putra UPMKB supaya Pelajar-pelajar lebih cakna dan prihatin kepada isu komuniti.
Beliau berkata demikian pada majlis pelepasan sukarelawan UPMKB ini di Dataran C, UPMKB.
Turut hadir sama Pensyarah Kanan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains yang juga merangkap Ketua Projek tersebut, Dr. Adrian Daud, Ketua Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan, Dr. Yasmin Yaccob, serta para pensyarah dan Pegawai Pejabat Pengurusan Pelajar UPMKB.
Dalam perkembangan yang sama, Dr. Adrian memaklumkan kumpulan sukarelawan berkenaan telah dibahagikan kepada dua kawasan, iaitu di Kampung Long Suling yang melibatkan seramai 13 orang pelajar dan 2 orang pegawai pengiring iaitu beliau sendiri dan Cik Beatrice Ak Hardy. Manakala 12 orang pelajar bersama Dr. Faizul Nizar sebagai pegawai pengiring pula melaksanakan tugasan di Kampung Long Watt.
Selain sukarelawan UPMKB, program ini merupakan inisiatif oleh Pejabat Residen Bahagian Miri, Pusat Khidmat Masyarakat DUN N77 Telang Usan, Yayasan Pusat Belia Antarabangsa Kuala Lumpur (IYC), Persatuan Gerakan Kemanusiaan Malaysia (MyHUMANITARIAN), Yayasan Pembangunan Kemanusiaan (HDF) dan JKKK Kampung Long Suling dan Long Watt. Projek ini merangkumi elemen teras Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 6: Water and Sanitation, SDG 16: Strong Institution.
Dr. Adrian turut berkata, melalui projek ini para mahasiswa mengetahui kepentingan semangat kesukarelawanan dalam membantu sesebuah komuniti untuk membangun ke arah yang lebih baik. Pengalaman sebagai sukarelawan melalui projek ini merupakan satu pengalaman yang sangat berharga bagi mereka.
Beliau turut berharap usaha yang telah dilakukan ini akan menjadi penggerak kepada penglibatan pihak berkepentingan lain bagi membangunkan sistem perpaipan baharu di kawasan pedalaman.

Date of Input: 21/03/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcSAL~