1,500 HEKTAR TANAH KERAJAAN DI SRI AMAN JADI PROJEK TANAMAN & PENGELUARAN PADI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» PUTRABAKTI » 1,500 HEKTAR TANAH KERAJAAN DI SRI AMAN JADI PROJEK TANAMAN & PENGELUARAN PADI

1,500 HEKTAR TANAH KERAJAAN DI SRI AMAN JADI PROJEK TANAMAN & PENGELUARAN PADI

SRI AMAN: Seluas 1,500 hektar tanah kerajaan di Sri Aman akan dibangunkan sebagai projek tanaman dan pengeluaran padi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ia adalah sebagai kesinambungan kepada projek penanaman serta pengeluaran padi yang dilaksanakan di Lubok Punggor, Gedong.
Menurutnya, untuk permulaan, projek tersebut dijalankan menggunakan tanah kerajaan yang seterusnya akan diperluaskan dengan pembabitan pemilik tanah persendirian.
Di sini saya telah bersetuju kita cuba membangunkan 1,500 hektar tanah kerajaan untuk kita bina projek penanaman padi dengan teknologi baharu agar tanah-tanah yang lain akan menggunakan model ini.
Usaha ini dilakukan supaya mereka boleh mengikut cara yang baharu dalam penanaman padi, katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Pusat Pengeluaran dan Pemprosesan Benih Padi (SPPC) Stumbin di sini pada Ahad.
Premier Sarawak menambah, projek penanaman padi di Lubok Punggor, Gedong akan dijadikan contoh untuk pengeluaran padi di negeri ini.
jelasnya, projek yang menggunakan teknologi terkini oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) itu mampu menghasilkan padi yang boleh dituai sebanyak lima kali dalam masa 24 bulan.
Kita telah membuat satu kajian bersama dengan UPM di Lubok Punggor dan dalam kajian tersebut dan eksperimen yang kita buat, nampaknya kita dapat mengeluarkan hasil daripada satu hektar boleh ditanam lima musim dalam masa 24 bulan.
Saya rasa bahawa projek itu dapat menjadi contoh untuk pengeluaran padi di kawasan-kawasan yang lain,katanya.
Tambah beliau lagi, Sarawak pada masa kini hanya mampu mengeluarkan 36 peratus daripada yang dikehendaki. Oleh itu beliau mahu mempertingkatkan hasil pengeluaran padi di negeri ini kepada kepada 100 peratus.
Hadir sama ke lawatan iaitu Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Datuk Mong Dagang, Ahli Parlimen Batang Lupar Shafizan Mohamad Kepli, Pengerusi Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) Dato Sri Rohani Abdul Karim dan Residen Bahagian Sri Aman Abang Porkan Abang Budiman.-EDISI UKAS

Date of Input: 13/03/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcHAT~