UPMKB BERJAYA ANJUR PSAF 2021 YANG PERTAMA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» NEWS » UPMKB BERJAYA ANJUR PSAF 2021 YANG PERTAMA

UPMKB BERJAYA ANJUR PSAF 2021 YANG PERTAMA

SEBAGAI salah satu universiti terkemuka di negara ini, Universiti Putra Malaysia (UPM) berusaha untuk menyumbang ke arah pembinaan negara, penciptaan kekayaan dan kemajuan manusia sejagat melalui penerokaan dan penyebaran pengetahuan, terutamanya dalam bidang pertanian dan perhutanan. Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) telah berjaya menganjurkan Seminar Pascasiswazah Pertanian dan Perhutanan 2021 (PSAF 2021) yang pertama pada 6 Oktober lalu. Seminar ini adalah khusus untuk pelajar pascasiswazah dalam bidang sains pertanian dan perhutanan di Malaysia.

Objektif utama PSAF 2021 adalah untuk menyediakan satu platform bagi pelajar pascasiswazah dari seluruh negara untuk berkongsi perkembangan terkini dalam bidang penyelidikan masing-masing dan mewujudkan rangkaian kolaboratif untuk masa hadapan. Seramai 210 peserta telah mengikuti seminar tersebut melalui aplikasi dalam talian Cisco Webex. Seminar ini dibahagikan kepada tiga sesi iaitu Sains Tanaman, Sains Haiwan dan Perikanan, dan Perhutanan dan Agroperhutanan. Pembentangan lisan dan poster telah disampaikan oleh 54 pelajar pascasiswazah dari 10 universiti yang berlainan di Malaysia.

Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan Dr Zamri Rosli. Beliau menekankan bahawa UPMKB meletakkan kepentingan pendidikan dan penyelidikan sebagai keutamaan dalam usaha melahirkan graduan yang cemerlang. Acara diteruskan dengan ucaptama bertajuk ‘Cabaran dan Peluang Pengajian Siswazah dalam Bidang Pertanian dan Perhutanan’ yang disampaikan oleh Pengarah Kampus Profesor Madya Dr Shahrul Razid Sarbini. Beliau berharap agar seminar ini dapat meningkatkan budaya penyelidikan dalam kalangan pelajar pascasiswazah dalam bidang pertanian dan perhutanan.

Seminar diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan pembentangan lisan dan poster terbaik. Setiap pemenang akan mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM50 dan e-sijil. Universiti Sabah Malaysia (UMS) adalah juara keseluruhan yang merangkul ketiga-tiga anugerah pembentangan lisan terbaik dan satu anugerah pembentangan poster terbaik. Susulan kejayaan PSAF 2021, UPMKB telah mula membuat persiapan untuk penganjuran seminar PSAF 2022 pada tahun depan.

 

Date of Input: 20/10/2021 | Updated: 20/10/2021 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
CUMHHA:07:15