RM1 Juta Untuk Laksana Projek Sarawak Pepper Farm@UPM Bintulu | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» NEWS » RM1 Juta Untuk Laksana Projek Sarawak Pepper Farm@UPM Bintulu

RM1 Juta Untuk Laksana Projek Sarawak Pepper Farm@UPM Bintulu


KUCHING, 18 Okt - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyalurkan dana berjumlah RM1 juta untuk pelaksanaan projek penyelidikan lada sarawak di Universiti Putra Malaysia (UPM) Bintulu atau Sarawak Pepper Farm@UPM Bintulu.

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata projek itu merupakan sebahagian usaha kerajaan membantu petani dan geran akan ditambah sekiranya keadaan memerlukan.


Menerusi program itu, UPM akan berkongsi kemahiran termasuk dalam penyelidikan dan inovasi bagi membantu meningkatkan pengeluaran lada Sarawak yang terkenal sebagai paling berkualiti, katanya berucap merasmikan program itu, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri berkenaan Datuk Mary Yap Kain Ching; Menteri Muda Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Dr Annuar Rapaee, Naib Canselor UPM Datin Paduka Dr Aini Ideris, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia Dr Harry Entabang.


Sarawak Pepper Farm@UPM Bintulu merupakan projek penyelidikan melibatkan kerjasama strategik dan efektik antara tiga pihak iaitu UPM dan KPT serta Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak dan Lembaga Lada Malaysia.

Sementara itu, Aini berkata kerjasama penyelidikan strategik itu akan membangunkan tanah seluas 10 hektar di UPM Bintulu secara berfasa bermula bulan ini.


Katanya empat program utama akan diusahakan iaitu program penanaman lada, program perlindungan lada, program teknologi hiliran dan program dimensi kemanusiaan.


"Ladang lada ini akan dibangunkan dengan amalan penanaman baik dan lestari selain dijangka menarik minat serta menjadi tumpuan pekebun-pekebun lada, usahawan, saintis, pelabur, dan pelajar.


"Kami percaya projek ini akan menjamin kelestarian penanaman lada hitam di Malaysia dan seterusnya menyokong matlamat negara untuk meningkatkan keluasan ladang dari 14,000 hektar kepada 20,000 hektar menjelang 2020 sekali gus menjadi negara pengeluar utama lada hitam dunia," katanya.

Date of Input: 20/10/2017 | Updated: 20/10/2017 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

P.O Box 396, Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086338948
B1566402010