Webinar Ilmu “How To Learn Better” Terima Sambutan Daripada Pelajar Seluruh Malaysia | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» Webinar Ilmu “How To Learn Better” Terima Sambutan Daripada Pelajar Seluruh Malaysia

Webinar Ilmu “How To Learn Better” Terima Sambutan Daripada Pelajar Seluruh Malaysia

BINTULU - Penganjuran Program Webinar Ilmu Peringkat Kebangsaan 2023, Siri 1: “How to learn better - Tips on improving the working memory ability” yang dianjurkan secara atas talian pada 17 Jun 2023 telah mendapat sambutan hangat di kalangan pelajar daripada institusi-institusi pendidikan yang terlibat.

Program berkenaan merupakan anjuran Seksyen Kaunseling dan Kebajikan Pelajar (SKKP), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dan Majlis Perwakilan Kolej (MPK), Kolej Sri Rajang, UPMKB dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Teknologi Mara Kampus Mukah Sarawak, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Sultan Zainal Abidin Terengganu, Kolej Poly-Tech MARA Kota Baru, SMK Bandar Baru Ampang Selangor, SMK Luak Miri, SMK Singai Kuching, SMK Asyakirin Bintulu dan SK Tanjong Karang Selangor.

Webinar tersebut telah meraih kehadiran seramai lebih 210 peserta iaitu daripada institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah di seluruh Malaysia yang terlibat. Penceramah jemputan bagi menyampaikan webinar tersebut ialah Encik Mohamad Azhari bin Abu Bakar yang merupakan seorang kaunselor berdaftar dan juga pensyarah dari Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, UNIMAS.

Menurut wakil pihak penganjur, program ini dianjurkan dengan tujuan utama untuk membantu meningkatkan kebolehan ingatan kerja serta mengasah keupayaan pelajar dalam pembelajaran dan penaakulan yang boleh diaplikasikan untuk mengukuhkan sesi pembelajaran mereka.

“Dengan kemahiran daya ingatan kerja yang baik, pelajar dapat memaksimumkan sesi pembelajaran dan menggunakan strategi-strategi yang efektif untuk membantu penguasaan subjek dan pencapaian akademik mereka,” ulas jurucakap penganjur mengenai kepentingan program tersebut.

Secara umumnya, ingatan kerja merupakan salah satu fungsi penting di dalam otak manusia terutamanya dalam proses seperti penyelesaian masalah, mengikut arahan, merancang tindakan, mengikut jadual, dan mengatur aktiviti.

Dalam sesi webinar tersebut, peserta didedahkan dengan pengenalan kepada ingatan kerja, kepentingan di antara niat (intention) dan perhatian (attention) dalam proses belajar, perkaitan di antara ingatan kerja dan aktiviti harian, perkara yang boleh menyebabkan ingatan kerja menjadi lemah dan mengganggu proses belajar, dan mitos mengenai cara belajar dan ingatan kerja. Antara kaedah penyampaian yang digunakan oleh penceramah ialah sesi pengkongsian menggunakan slaid pembentangan dan juga penggunaan aplikasi seperti padlet dan mentimeter untuk berinteraksi bersama peserta.   

Di dalam sesi webinar tersebut juga penceramah berkongsi kaedah yang boleh dilakukan untuk membantu ingatan kerja dan proses pembelajaran. Antara kaedah yang dikongsikan adalah untuk mempunyai matlamat ketika proses belajar, membahagikan sesuatu tugasan atau aktiviti kepada komponen kecil, mempunyai masa rehat semasa proses belajar, mengaplikasi teknik mnemonic iaitu dengan mengaitkan sesuatu yang hendak diingati dengan formula khas yang dibentuk sendiri, dan menggunakan pendekatan visualisasi dan pendekatan menutup mata (eye closure) untuk membantu ingatan.

Justeru, pihak penganjur berharap agar program ini dapat membantu pelajar memahami dengan lebih mendalam bagaimana pemprosesan maklumat berlaku di dalam minda dan juga meningkatkan proses pembelajaran mereka. Program ini juga diharapkan dapat membantu peserta untuk memperbaiki diri dan seterusnya meningkatkan pencapaian akademik pelajar.

 

Updated:: 13/07/2023 [lanz]

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcAAV~