Adopted Family Program | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» Adopted Family Program

Adopted Family Program

PUTRA│Bakti KASIH ANAK MENUA

Kursus Kokurikulum Berkredit merupakan satu kursus berstruktur atau latihan praktikal yang wajib diambil oleh semua pelajar diploma di peringkat universiti untuk melepasi tahap graduat. Kursus ini mengandungi satu jam kredit. Selain menerapkan elemen-elemen Kemahiran Insaniah dalam kalangan pelajar, Kursus Kokurikulum Berkredit QKK2101 Bakti Siswa adalah merupakan wadah yang menyeluruh untuk para siswazah mempelajari dan menimba ilmu pengetahuan tentang konsep serta kaedah pelaksanaan sesuatu aktiviti atau program dengan konsep mengendalikan atur cara majlis.

Selain itu, kursus ini juga mampu membantu memperkasa belia yang terdiri daripada pelajar universiti dalam meningkatkan kemahiran praktikal, kemahiran insaniah dan pengurusan acara serta memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi antara satu sama lain dengan lebih efektif sekaligus mengaplikasi hasil pembelajaran yang tidak diperoleh melalui kursus akademik yang lain di dalam kelas. Seiring dengan hasrat tersebut, satu program akan dianjurkan iaitu Program PUTRA | Bakti Kasih Anak Menua yang memungkinkan semua aspek yang disasarkan dapat diterap dalam diri pelajar.

Rumah Jimbai Anak Saban merupakan salah sebuah Rumah Panjang yang terdapat di Sarawak. Rumah Panjang yang terletak di Daerah Sebauh ini mempunyai 42 buah pintu dan rata-rata komuniti di kawasan tersebut berbangsa Iban. Perusahaan Kelapa Sawit adalah merupakan salah satu sumber ekonomi utama bagi penduduk setempat. Selain itu, aktiviti pertanian yang lain seperti ternakan, tanaman dan menangkap ikan lebih menjurus kepada ekonomi sara hidup. Dengan pembangunan pesat dan peluang pekerjaan yang lebih meluas dan cerah di Bandar Bintulu khasnya dan Sarawak amnya menyebabkan kebanyakan golongan muda berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki. Ini menjadi salah satu penyumbang kepada kegagalan beberapa perancangan untuk menambah baik infrastruktur dan kemudahan yang ada di kawasan tersebut.

Melihat kepada senario ini, pelajar Kursus QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 4 & 6) berhasrat untuk bertandang ke perkampungan tersebut untuk membantu penduduk setempat dalam membina jambatan dan rumah stor generator. Walaupun usaha ini dilihat tidak begitu besar, namun impak daripada bantuan yang diberikan begitu besar maknanya kepada komuniti di perkampungan tersebut. Selain itu, beberapa modul yang berteraskan kepada pertanian dan teknologi makanan akan turut dilaksanakan bagi menambah nilai pengetahuan dan ilmu kepada penduduk kampung dalam bidang berkaitan.



Updated:: 03/09/2020 [lanz]

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEaQAa~