Taman Pertanian UPMKB Mahu Kembang Industri Ternakan Lembu | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» ARTICLE » Taman Pertanian UPMKB mahu kembang industri ternakan lembu

Taman Pertanian UPMKB mahu kembang industri ternakan lembu

TAMBAH ILMU: Para peserta diberi penerangan tentang cara pengurusan penternakan lembu Bali.

BINTULU: Langkah berterusan diusahakan oleh Taman Pertanian Universiti, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) untuk memperkembangkan industri penternakan lembu di bahagian ini dan Sarawak amnya dengan menganjurkan kursus berkaitan kepada para pengusaha ternakan lembu tempatan.

Ini berikutan industri penternakan lembu agak kecil di negeri ini berbanding komoditi penternakan lain, sekali gus satu bidang usaha yang mencabar untuk dilaksanakan. Begitupun ia boleh mendatangkan keuntungan sekiranya dijalankan secara terancang, sistematik dan berterusan. Penternakan lembu menjanjikan pulangan yang tinggi kepada pengusahanya kerana penggunaan daging lembu negara semakin meningkat dan bekalan daging lembu pula masih tidak mencukupi.

Permintaan untuk daging lembu segar tempatan terus meningkat dari tahun ke tahun namun jumlah bekalannya menurun sehingga meningkatkan pengimportan lembu hidup terutama menjelang perayaan Hari Raya Aidiladha. Justeru Taman Pertanian Universiti UPMKB telah melakukan kajian tiga kaedah penternakan lembu iaitu melalui sistem intensif, separa intensif dan ekstensif.

Pemilihan sistem penternakan adalah berdasarkan jumlah modal, luas kawasan penternakan dan jenis lembu yang ingin diternak dan sistem fidlot (intensif) memberikan pulangan yang tinggi dalam masa empat hingga enam bulan sahaja. Begitupun agak sukar untuk mendapatkan stok lembu yang sesuai, justeru penternakan lembu separa intensif dilihat lebih praktikal di Malaysia.

Antara yang diperkenal dan diusahakan universiti itu ialah penternakan baka lembu Bali. Meskipun kurang popular di Malaysia berbanding lembu Brahman dan baka tempatan iaitu Kedah-Kelantan (KK) namun lembu Bali lebih istimewa cara penternakannya. Baka lembu itu tidak boleh dikekang secara kasar seperti lembu biasa, agak pemalu dan mudah tertekan namun ia boleh dijinakkan apabila diternak dengan kekerapan hubungan langsung dengan manusia.

Lembu diternak untuk pengeluaran daging dan kualiti daging lembu baka itu adalah sangat baik dan nisbah jumlah karkas kepada berat hidup yang tinggi selepas disembelih. Lembu Bali juga memiliki ciri-ciri tahan lasak kepada cuaca panas dan kelembapan yang tinggi serta tahan terhadap parasit dalaman dan luaran.

Selain itu, ia mempunyai kadar bunting yang tinggi iaitu 80 peratus hingga 90 peratus di samping dapat mencernakan makanan atau rumput yang berkualiti rendah dengan baik seperti kerbau sehingga sukar untuk melihat lembu Bali dengan keadaan skor badannya yang rendah.

Dalam perkembangan berkaitan dan menggiatkan lagi industri penternakan lembu di negeri ini, UPMKB telah menganjurkan kursus untuk kali pertamanya berkaitan lembu Bali iaitu Kursus Penternakan Lembu Bali dan Fidlot di universiti itu baru-baru ini.

Ia mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat termasuk dari luar bahagian ini yang merangkumi 34 peserta dari Kuching, Kabong, Sarikei, Saratok, Sibu, Bintulu dan Miri, lebih-lebih lagi ramai melihat potensi dan permintaan terhadap daging lembu segar tempatan yang sangat tinggi di pasaran.

Kursus itu juga untuk menyebarkan ilmu dalam bidang pertanian kepada masyarakat luar selaras dengan misi UPM iaitu memberi sumbangan bermakna kepada pembentukan kekayaan dan pembangunan negara serta kemajuan manusia sejagat menerusi penerokaan dan penyebaran ilmu.

Kursus itu membabitkan teori diadakan di Dewan Taklimat Bangunan Pentadbiran UPMKB pada paginya dan pada petangnya sesi amali di Kompleks Tenusu Ladang Kongsi 1 UPMKB dikendalikan penceramahnya Pegawai Pertanian Kanan Taman Pertanian Universiti UPMKB Dr Zaidi Suif yang mengupas tajuk Pengenalan Baka Lembu Bali, Potensi Penternakan Lembu Bali serta Sistem Penternakan Lembu Bali Secara Separa Intensif dan Meluas.

Selain itu Dr Zaidi turut mengupas tajuk Pengekangan Lembu Bali, Pengurusan Kesihatan Gerompok, Pemberian Ubat Cacing dan Menimbang serta Pemasangan Pagar Elektrik Mudah Alih. Manakala penceramah kedua merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan Fakulti Sains Pertanian dan Makanan UPMKB Mohamad Nasir Hassan mengupas tajuk Potensi dan Sistem Penternakan Lembu Secara Fidlot, Pemilihan Lembu Untuk Fidlot serta Pengurusan Makanan dan Rekod Ternakan.

https://www.utusanborneo.com.my/2019/09/06/taman-pertanian-upmkb-mahu-kembang-industri-ternakan-lembu

Date of Input: 06/09/2019 | Updated: 06/09/2019 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

P.O Box 396, Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086338948
C1568722535