Kempen Penanaman 100 Juta Pokok UPMKB Dapat Sokongan Pihak Industri | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» ARTICLE » Kempen Penanaman 100 Juta Pokok UPMKB dapat sokongan pihak industri

Kempen Penanaman 100 Juta Pokok UPMKB dapat sokongan pihak industri

KEMPEN Penanaman 100 Juta Pokok dalam strategi mencegah pencemaran melalui kawalan alam semula jadi bagi tempoh 2021 hingga 2025 di Hutan Nirwana UPMKB di Bintulu mendapat sokongan menggalakkan daripada pihak industri.

Program anjuran Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Bintulu bersama pihak industri merupakan Program `1 RAS (Rakan Alam Sekitar) 1 Pokok’ dan Denai Sungai Kebangsaan sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022.

Program itu mendapat tajaan Borneo Agro Resources Sdn Bhd, PSS Oil Mill Sdn Bhd serta DD Palm Oil Mills Sdn Bhd yang merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu di bawah Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kepada komuniti di Bintulu.

Pengarah Kampus UPMKB Profesor Dr Shahrulrazid

Sarbini berkata, program penanaman pokok di tebingan sungai bertujuan untuk mengukuhkan tebingan sungai dan mengurangkan hakisan serta secara tidak langsung akan menambah baik habitat dan kehidupan sungai.

“Program penghijuaan ini turut mengurangkan kesan pemanasan global dan menjadikan kawasan hijau bagi masyarakat Bintulu,” ujarnya pada program tersebut di Bintulu, baru-baru ini.

Beliau merakamkan penghargaan kepada JAS Bintulu yang telah memilih Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan UPMKB sebagai rakan kerjasama strategik untuk penganjuran program penghijauan tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Cawangan JAS Bintulu, Abdul Mazli Hafiz Abdul Malik berkata, program tersebut sebagai landasan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan sektor industri dalam usaha dan tanggungjawab bersama menjaga alam sekitar.

Katanya, program ini dapat memupuk kesedaran dalam kalangan komuniti setempat agar menghargai fungsifungsi ekosistem hutan.

“Aktiviti sebegini berupaya merancakkan pemuliharaan alam sekitar yang terdiri daripada kepelbagaian biodiversiti termasuk berfungsi mengawal perubahan iklim dunia,” katanya.

Terdahulu program tersebut dikendali oleh Pengarahnya Prof Madya Dr Geoffery James Gerusu dan Abdul Mazli Hafiz Abdul Malik dari JAS Bintulu.

Ia disertai 80 peserta terdiri warga UPMKB, JAS dan tiga syarikat perkilangan kelapa sawit dengan melibatkan penanaman 250 anak pokok daripada dua spesies tempatan iaitu Engkabang Jantung atau nama saintifiknya Shorea macrophylla dan Plajau (Pentaspadon motleyi).

 

 

 

Date of Input: 07/06/2022 | Updated: 07/06/2022 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
BWKCXAb:23:24