HUBUNGAN BAIK ANTARA MASYARAKAT, INDUSTRI, IPT PENTING | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» ARTICLE » HUBUNGAN BAIK ANTARA MASYARAKAT, INDUSTRI, IPT PENTING

HUBUNGAN BAIK ANTARA MASYARAKAT, INDUSTRI, IPT PENTING

BINTULU: Hubungan baik antara masyarakat, industri dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang menyumbang dalam kepakaran masing-masing dalam bidang berkaitan akan mampu membentuk masyarakat yang terus maju dan berdaya tahan dalam mendepani pelbagai cabaran pada masa akan datang.

Pengurus Kanan Kelestarian Glenealy Plantations Sdn Bhd (GPSB) Chieng Kai Soon berkata, melalui hubungan ini akan membantu mewujudkan kepercayaan dan persefahaman antara kumpulan berbeza sekali gus meningkatkan jalinan kerjasama pada masa depan dalam bidang berkaitan.

“Melalui program seumpamanya akan membantu meningkat, menyokong dan menjangkau masyarakat yang berada dalam kawasan operasi syarikat melalui pemindahan pengetahuan dan perkongsian maklumat penting berkaitan untuk kehidupan harian dan kebajikan mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Jangkauan Komuniti antara Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dan GPSB bertemakan ‘Kebersamaan Masyarakat Makmur’ di Rumah Louis Nyagong Lenjau, Seping Long Bala Belaga baru-baru ini.

Chieng berkata, program sebegini bertujuan mewujudkan hubungan positif antara masyarakat, industri dan IPT dengan menyumbang kepakaran bersama sebagai rakan usaha sama dalam bidang berkaitan.

Justeru katanya, program itu tertumpu terutama untuk memindahkan pengetahuan daripada IPT dan industri minyak sawit kepada masyarakat di Seping Long Bala, Belaga.

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan UPMKB Dr Zamri Rosli berkata, program yang tertumpu kepada menangani keperluan khusus dalam sesebuah komuniti akan memastikan semua komuniti mendapat manfaat dan pengetahuan penting daripada program tersebut.

Beliau berkata, kemampanan jangka panjang dan impak positif yang diperoleh daripada program itu amat dititikberatkan.

Justeru katanya, pemantauan terhadap penilaian impak melalui komunikasi dan penglibatan berterusan dengan komuniti Long Bala adalah penting untuk menentukan keberkesanan program.

Beberapa aktiviti yang diadakan dalam program itu ialah tiga sesi perkongsian pengetahuan tentang kesedaran pendidikan yang disampaikan Profesor Madya Dr Geoffery James Gerusu daripada UPMKB.

Diikuti topik berkaitan membangunkan pengkomposan rumah berdasarkan proses pengetahuan oleh Sat Maling, juga daripada UPMKB dan perkongsian maklumat penting berkaitan amalan pertanian yang baik untuk mengurus dan menyelenggara ladang kelapa sawit oleh Pengurus Estet GPSB Alexander Takap.

Aktiviti pemindahan pengetahuan khusus ini menyasarkan untuk meningkatkan pengetahuan dalam kalangan ahli komuniti Long Bala dan sejajar dengan matlamat untuk kemampanan dan peningkatan hasil produk dalam komuniti.

Seramai 80 penduduk Long Bala terlibat secara aktif dan menyertai program sehari tersebut bagi membolehkan ahli komuniti Long Bala memperkasakan, memperoleh pengetahuan dan peluang untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Ia juga untuk membantu mengukuhkan hubungan sosial dalam kalangan industri minyak sawit, IPT dan komuniti melalui rasa tanggungjawab, perpaduan sosial dan semangat kemasyarakatan yang lebih kukuh. Program ini dibiayai sepenuhnya oleh GPSB.

Aktiviti lain yang turut diadakan ialah penanaman pokok buah-buahan tempatan dalam program turun padang diketuai Tuai Rumah Louis Nyagong Lenjau.

Sebanyak 50 anak pokok pelbagai spesies buah termasuk durian musang king (D197), petai (Parkia speciosa) dan dabai (Canarium odonthophylum) telah ditanam di kawasan tanah komuniti Long Bala terpilih.

Aktiviti ini juga untuk memupuk kesedaran dalam komuniti bagi memelihara persekitaran yang lebih hijau dan untuk memperkasa ekonomi penduduk Long Bala.

Melalui program seumpamanya akan membantu meningkat, menyokong dan menjangkau masyarakat yang berada dalam kawasan operasi syarikat melalui pemindahan pengetahuan dan perkongsian maklumat penting berkaitan untuk kehidupan harian dan kebajikan mereka. Chieng Kai Soon Pengurus Kanan Kelestarian GPSB.

 

Date of Input: 19/05/2023 | Updated: 19/05/2023 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
WWJZHA2:07:56