UPM BAKAL TUBUH FAKULTI VETERINAR DAN PENTERNAKAN DI KAMPUS BINTULU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» NEWS » UPM BAKAL TUBUH FAKULTI VETERINAR DAN PENTERNAKAN DI KAMPUS BINTULU

UPM BAKAL TUBUH FAKULTI VETERINAR DAN PENTERNAKAN DI KAMPUS BINTULU

BINTULU: Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menubuhkan Fakulti Veterinar dan Penternakan di Kampus Bintulu bagi mengukuhkan agenda pertanian dan keterjaminan makanan, titah Tuanku Canselor UPM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurut Baginda, penubuhan fakulti ini sebagai tepat pada masanya kerana bidang keterjaminan makanan nasional merupakan tonggak yang sangat penting dalam strategi keseluruhan pembangunan negara melalui hubungan timbal balik dengan bidang sosioekonomi yang lain.

"Beta mengucapkan syabas kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak di bawah Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak kerana memberikan sokongan padu terhadap fakulti yang akan ditubuhkan ini nanti," titah Baginda pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-47 Sidang 1 di Dewan Sri Kenyalang Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), hari ini.

Pada majlis konvokesyen berkenaan, seramai 487 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing yang mana Sultan Sharafuddin berkenan mengurniakan sembilan ijazah doktor dalsafah (PhD), sarjana (12), sarjana muda (84) dan diploma (382) dalam pelbagai bidang pengajian.

"Beta turut difahamkan bahawa UPMKB juga banyak melaksanakan kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan bersama agensi kerajaan dan industri," ujarnya.

Sultan Sharafuddin juga bertitah bahawa setakat Oktober tahun ini, jumlah geran penyelidikan yang diterima UPMKB daripada kerajaan dan agensi swasta bernilai RM1.27 juta yang mana amat diperlukan bagi menyokong segala usaha penyelidikan yang dijalankan universiti terbabit.

Selaras dengan matlamat itu tegas Baginda, UPM telah menawarkan tiga program pengajian baharu iaitu Diploma Pengurusan Perniagaan dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan untuk Eksekutif yang mula ditawarkan pada Semester Pertama Sesi Akademik 2023/2024.

"Dalam pada itu, Program Asas Diploma pula akan ditawarkan bermula Semester Ke-2 Sesi Akademik 2023/2024," titah Baginda.

Sultan Sharafuddin dalam titahnya turut menzahirkan rasa bangga kepada kerajaan Sarawak kerana yakin dengan kemampuan UPM dan bersetuju meneruskan Kursi Penyelidikan Tok Nan di UPMKB sehingga 2027. 

Malah kerajaan Sarawak tegas Baginda, kini mewujudkan satu lagi kursi iaitu Kursi Pertubuhan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA)-UPM yang bergiat dalam bidang penyelidikan dan pembangunan pengurusan hutan tropika dan hutan tanam termasuk keterjaminan makanan dan tenaga boleh diperbaharui.

Turut hadir ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan Naib Canselor UPM Datuk Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Date of Input: 06/11/2023 | Updated: 06/11/2023 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEdHA6~