PENANAM PADI BERTEKNOLOGI BAHARU MAMPU JANA PENDAPATAN T20 - ABANG JOHARI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» NEWS » PENANAM PADI BERTEKNOLOGI BAHARU MAMPU JANA PENDAPATAN T20 - ABANG JOHARI

PENANAM PADI BERTEKNOLOGI BAHARU MAMPU JANA PENDAPATAN T20 - ABANG JOHARI

KUCHING: Konsep penanaman padi menggunakan teknologi baharu yang sedang dilaksanakan di Lubok Punggor, Gedong, kira-kira 90 kilometer dari sini mampu meletakkan pengusaha pertanian itu dalam golongan berpendapatan tinggi (T20) pada masa hadapan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kajian yang dibuat Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai penanaman padi cara baharu di kawasan itu sudah menunjukkan beberapa hasil positif yang boleh meningkatkan pendapatan petani.

"Alhamdulillah, mereka (pengkaji UPM) telah membuat kajian dan nampaknya kajian ini telah memberi hasil positif apabila ladang contoh yang dibangunkan oleh pihak UPM bersama dengan rakyat tempatan telah menghasilkan tanaman padi yang boleh dituai sebanyak lima kali dalam masa 24 bulan," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri taklimat berkaitan pembangunan Projek AgriHub@ Gedong hari ini, beliau berkata teknologi yang dibangunkan UPM untuk projek penanaman itu mampu meningkatkan pendapatan petani hingga mencecah RM6,400 sebulan.

"...satu hektar ini RM6,000 dan kalau dia (petani) ada dua hektar bermakna RM12,000. Kalau dia (pendapatan) RM12,000, bermaksud dia berada dalam kelompok berpendapatan tinggi," katanya.

Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong berkata pembangunan pusat pentadbiran dan komersial baharu juga giat dilaksanakan di kawasan DUN itu yang turut dikenal pasti sebagai tapak untuk penanaman alga.

"Di kawasan Gedong ini tanahnya sesuai untuk membangunkan atau mengeluarkan alga yang akan menjadi bahan bagi pengeluaran produk makanan, farmaseutikal dan akhirnya SAF (Bahan Api Penerbangan Mampan)," katanya.

Menurutnya Kumpulan Syarikat Chitose dari Jepun yang memulakan projek rintis penghasilan alga di Sejingkat, Kuching tahun lepas telah diperuntukkan satu kawasan seluas 100 hektar untuk memulakan projek penghasilan alga di Gedong.

Beliau berkata syarikat berkenaan yang turut terlibat dalam pengeluaran alga untuk penghasilan SAF di Bintulu, akan memfokuskan kajian mereka di Gedong bagi penghasilan tumbuhan itu untuk tujuan makanan dan farmaseutikal.

"Kita akan menambah lagi (pembangunan) kawasan Gedong menjadi pusat untuk kawasan pesisir dengan menggunakan tanah yang ada bagi kita bangunkan sektor agro," tambahnya.

 

Date of Input: 08/02/2024 | Updated: 08/02/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEdGAO~