DIABAI IBU KANDUNG, GADIS IBAN TEKAD TAMATKAN PENGAJIAN DEMI BALAS JASA KELUARGA ANGKAT | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» NEWS » DIABAI IBU KANDUNG, GADIS IBAN TEKAD TAMATKAN PENGAJIAN DEMI BALAS JASA KELUARGA ANGKAT

DIABAI IBU KANDUNG, GADIS IBAN TEKAD TAMATKAN PENGAJIAN DEMI BALAS JASA KELUARGA ANGKAT

Oleh: Sharifah Hannah Adibah Wan Serail dan Nur Syamila Kamarul Arefin
Jurufoto: Saleha Haron


BINTULU, 4 Nov
 – Gadis Iban yang telah dijaga oleh keluarga angkat kerana diabaikan oleh ibu kandung sendiri tekad untuk menamatkan pengajian demi membalas jasa ibu bapa angkat yang telah menjaganya sedari kecil.

Kumang anak Sura, 21, berjaya memperoleh Diploma Perniagaantani di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) sempena Majlis Konvokesyen UPM ke-47 Sidang 1 Tahun 2023.

“Perjalanan meniti kejayaan bukan sesuatu yang mudah. Saya berasa sangat bersyukur kerana telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat Diploma meskipun berhadapan dengan pelbagai onak duri,” katanya. 

Anak jati Bumi Kenyalang itu telah kehilangan bapa kandungnya serta diabaikan oleh ibu kandungnya, dan kini dibesarkan oleh ibu bapa angkatnya, Aju anak Asan, 71, dan Pong Hui Kang, 73.  

“Hidup saya boleh dikatakan ‘tragis’ kerana bukan sahaja yatim tiada ayah, saya turut diabaikan oleh ibu kandung sendiri, yang mana sehingga kini saya tidak tahu di mana keberadaan beliau. 

“Sebelum melanjutkan pengajian, saya pernah berhubung dengan ibu kandung saya untuk memaklumkan berita gembira tentang kemasukan saya ke universiti, dan beliau berjanji untuk membantu dalam pembiayaan kos pengajian. Beliau menunaikan janjinya semasa saya berada di Semester 1, tetapi kemudian beliau menghilang tanpa khabar berita,” katanya. 

Menurut Kumang, anugerah yang paling disyukurinya dalam kehidupan ini adalah memiliki dua insan hebat, iaitu ibu bapa angkatnya yang menerima dan menyayanginya seperti darah daging mereka sendiri. 

“Kasih sayang yang dicurahkan kepada saya sejak dari kecil amat berharga. Tidak semua pasangan sanggup menjaga seseorang yang bukan darah daging mereka, tetapi kedua ibu bapa saya menerima saya sehinggakan saya merasa merekalah ibu bapa kandung saya.

“Meskipun ibu bapa saya sudah berusia, pengorbanan mereka cukup besar dalam membanting tulang sebagai petani untuk menyara kehidupan kami sekeluarga. Keluarga kami sederhana, tetapi kesederhanaan itu cukup bermakna. Melalui mereka, saya dapat merasa sosok ibu bapa dalam kehidupan saya dengan tidak pernah mengabaikan saya. 

“Pernah terdetik di benak hati untuk menangguhkan pengajian kerana masalah kewangan dan kesihatan ibu bapa saya, tetapi saya cekal dan bangkit kerana saya ingin menamatkan pengajian ini demi mereka, dua insan hebat yang membesarkan gadis biasa ini dengan penuh kasih tanpa keluh-kesah,” katanya. 

Tambah gadis Iban yang bercita-cita untuk menjadi usahawan muda itu, dia tidak akan berhenti dalam mendapatkan pendidikan untuk membina masa depan yang cerah demi mengubah nasib keluarganya. 

“Melihat ibu bapa saya gembira kerana saya telah menamatkan pengajian meski di peringkat Diploma merupakan kebahagiaan yang tiada taranya, dan saya akan melakukan apa-apa sahaja untuk terus membanggakan dan membalas jasa mereka,” katanya. 

Date of Input: 06/11/2023 | Updated: 06/11/2023 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEdEAj~