DENDANGAN BERMUKUN, PERSEMBAHAN TRADISI UNIK PADA MAJLIS KONVOKESYEN UPM KE-47 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» NEWS » DENDANGAN BERMUKUN, PERSEMBAHAN TRADISI UNIK PADA MAJLIS KONVOKESYEN UPM KE-47

DENDANGAN BERMUKUN, PERSEMBAHAN TRADISI UNIK PADA MAJLIS KONVOKESYEN UPM KE-47

BINTULU, 4 Nov – Pastinya tidak semua tahu mengenai dendangan bermukun atau gendang sebagai satu persembahan tradisi yang unik dan sering didendangkan di Sarawak, khususnya pada majlis keramaian seperti kenduri perkahwinan.

Majlis Konvokesyen UPM ke-47 kali ini diserikan dengan keunikan persembahan bermukun oleh Kumpulan Cenderawasih Miri yang bergendang bersama ‘Mak Gendang’ atau lebih dikenali sebagai ‘Syeh Gendang’.

‘Syeh Gendang’, Dayang Azura berkata, sejarah bermukun merupakan sejarah Melayu Sarawak yang bertujuan untuk mencari jodoh tetapi kini menjadi persembahan tradisi.

“Sebelum persembahan bermukun dimulakan, satu mangkuk tembaga akan diletakkan di depan tirai yang disediakan bertujuan meletakkan surat, sapu tangan atau bunga untuk diberi kepada para gadis yang berada di kedudukan belakang ‘Mak Gendang’.

“Tugas Syeh Gendang adalah sebagai orang tengah untuk membalas pertanyaan lelaki yang ingin memikat gadis diminati dan inilah cara orang Melayu Sarawak zaman dahulu mencari bakal pasangan,” katanya.

Tambah beliau, uniknya cara pertanyaan semasa bermukun adalah dalam bentuk pantun secara spontan yang dilagukan serta bergendang bersama penandak yang akan menari sesama mereka.

“Penandak atau nopeng ada kalanya akan menunjukkan kehebatan dalam tarian silat untuk menunjukkan kehebatan lelaki itu untuk menarik minat para gadis untuk mengenalinya, dan kemudian pada akhir majlis penandak akan menunjukkan dirinya yang sebenar,” katanya. 

Dayang Azura telah mengikuti jejak ibunya sebagai ‘Syeh Gendang’ dan mula berkecimpung secara serius dalam persembahan mukun pada tahun 2005 sehingga kini. 

Sementara itu, Ahli Kumpulan Cenderawasih Miri ini terdiri daripada Dayang Mastura, Saiful Bahri dan Bohari Bolhasan dan Khairrddin Safiee yang turut pernah membuat persembahan rasmi untuk badan kerajaan dan swasta di sekitar Bumi Kenyalang.

Date of Input: 06/11/2023 | Updated: 06/11/2023 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEdHAo~