38 PESERTA IKUTI KURSUS PENTERNAKAN AYAM SIRI KETIGA ANJURAN PPP UPMKB | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» NEWS » 38 PESERTA IKUTI KURSUS PENTERNAKAN AYAM SIRI KETIGA ANJURAN PPP UPMKB

38 PESERTA IKUTI KURSUS PENTERNAKAN AYAM SIRI KETIGA ANJURAN PPP UPMKB

BINTULU: Berikutan permintaan menggalakkan, Pusat Pertanian Putra Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (PPP UPMKB) telah menganjurkan untuk kali ketiga Kursus Pengurusan Penternakan Ayam (Siri 3) melibatkan 38 peserta daripada pelbagai latar belakang di seluruh Sarawak di sini, baru-baru ini.

Kursus yang berlangsung jam 8 pagi hingga 5 petang itu disertai peserta dari Bintulu, Kuching, Miri, Sibu, Belaga, Serian, Sri Aman, Lawas, Limbang, Mukah, Dalat, Kapit dan Bintangor.

Pegawai Pertanian Kanan PPP UPMKB selaku penyelaras dan penceramah kursus Ts Dr Carlina Freddie Simol@Rachellynna berkata, kursus dengan bayaran yang minimum ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta yang ingin menternak ayam dari segi keperluan umum, penyediaan reban, pengurusan dan penyelenggaraan harian sehingga mendapat hasilnya. 

Katanya, turut dikongsikan ialah ilmu pengetahuan tentang pengurusan kesihatan ayam, penyediaan dan penghasilan makanan untuk ayam serta penyelesaian kepada masalah yang sering dihadapi oleh penternak ayam. 

"Peserta didedahkan sesi amali tentang pemilihan telur untuk penetasan, pemotongan paruh ayam serta cara-cara pemberian vaksin kepada ternakan ayam," katanya pada kursus itu. 

Sesi amali telah dibantu oleh staf PPP UPMKB, Jega Jantai dan Yusri Drahman.

Sementara itu, Timbalan Pengarah PPP UPMKB Profesor Madya Dr Amy Halimah Rajaee berkata, kursus tersebut dijalankan selaras dengan keperluan peningkatan ilmu untuk memperkasakan bidang pertanian sebagai salah satu inisiatif dalam menghadapi isu krisis sekuriti makanan negara.

Menurutnya, kursus ini merupakan satu daripada rangkaian kursus yang dirancang pada tahun ini dalam merealisasikan program University for Society (U4S) atau IPT for Society@Keluarga Malaysia (UNITY) melalui program pemindahan teknologi pertanian yang berpaksikan kemajuan dan kesejahteraan komuniti. 

"PPP UPMKB ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Josephine Jawai Makos, Norbaya Che Rus, Deepshika Nair Sivananthan Nair dan Nur Ismahani Irdina Gani (urusetia), Benedict Miden (jurufoto) dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan kursus ini," katanya. 

Beliau berkata, PPP UPMKB turut mendapat galakan dan sokongan daripada Pengarah Kampus UPMKB Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini agar kursus seumpamanya dapat dipeluaskan penganjurannya untuk komuniti setempat khasnya dan masyarakat umum amnya.

Katanya, ia sejajar dengan cogan kata keramat UPM 'Berilmu Berbakti' supaya bidang kepakaran yang dimiliki oleh pegawai akademik dan pegawai bukan akademik UPMKB dapat diserlah dan dimanfaatkan sewajarnya.

Date of Input: 10/05/2024 | Updated: 10/05/2024 | lanz

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXFVAAT~