LIGHTSCAPE EXHIBITION UPMKB 2024 : MERENTAS TEMA SENI VISUAL DIGITAL DAN AKTIVITI KREATIF | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS
» LIGHTSCAPE EXHIBITION UPMKB 2024 : MERENTAS TEMA SENI VISUAL DIGITAL DAN AKTIVITI KREATIF

LIGHTSCAPE EXHIBITION UPMKB 2024 : MERENTAS TEMA SENI VISUAL DIGITAL DAN AKTIVITI KREATIF

BINTULU Ahad, 10 Mac 2024 - Warga Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) telah menyaksikan pameran seni visual digital yang mengagumkan, Putra Bakti@Lightscape Exhibition UPMKB 2024. Program ini merupakan pameran seni digital pertama bukan sahaja di UPMKB namun ianya juga merupakan yang pertama di Bintulu, Pameran ini menampilkan pelbagai tema menarik seperti Forest Cinematic, Waves and Marine, Geometric, dan Space.
 
Pengunjung pameran bukan sahaja dinikmati dengan karya seni digital yang menawan, tetapi mereka juga diajak untuk terlibat dalam aktiviti seni seperti membuat kraf, melukis, dan mewarna sesuai dengan kreativiti masing-masing. Inisiatif ini bertujuan untuk mendorong penyertaan aktif dan pengalaman yang lebih mendalam dalam dunia seni digital.
 
Salah satu ciri khas yang unik dalam Lightscape Exhibition kali ini adalah aktiviti Lightscape Exploration. Pengunjung dibawa menjelajah setiap tema pameran dengan mengikuti rangkaian petunjuk untuk menyelesaikan misteri di setiap bilik pameran. Inisiatif ini memberikan dimensi interaktif pada pameran, menjadikannya lebih daripada sekadar pameran visual, tetapi juga penjelajahan seni yang menarik. Sebanyak 20 peserta yang berhasil menyelesaikan misteri telah menerima hadiah istimewa.
 
Majlis penutupan program ini dirasmikan oleh Encik Abdul Rahim, Pegawai Kanan Psikologi UPMKB. Dalam ucapan penutupannya, beliau menyatakan bahawa program seperti Lightscape Exhibition membuka ruang baru untuk pengembangan seni di kalangan mahasiswa. Beliau berharap agar program seperti ini dapat diteruskan di masa depan, dengan memotivasikan lebih banyak pelajar untuk mengeksplorasi dan mengekspresikan kreativiti mereka. Turut hadir melawat pameran tersebut adalah Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Pelajar UPMKB, Encik Mohamad Syukri Mohamad Adnan. Kehadiran beliau memberikan sokongan yang kuat kepada inisiatif seni ini, mencerminkan pentingnya memberikan platform kepada mahasiswa untuk mengembangkan bakat seni mereka.
 
Lightscape Exhibition UPMKB 2024 tidak mungkin terlaksana tanpa sokongan daripada penaja utama, Majestic Creative Company, serta penaja lain seperti Ojo Eyewear, Prestige Outdoor Sport (POST)@D’Tebin Bota, dan Almira Catering. Komitmen dan kerjasama penaja-penaja ini turut membantu memastikan kejayaan pameran seni visual digital ini penuh dengan warna dan kreativiti.
 
Dengan berakhirnya Lightscape Exhibition UPMKB 2024, UPMKB telah mencipta sejarah baru dalam mewujudkan platform seni digital yang memberikan inspirasi, interaksi, dan pengalaman seni yang unik kepada para pengunjung. Semangat kreatif ini diharapkan akan terus berkembang ke seluruh komunitI kampus, membawa sinar baru dalam arena seni dan kreativiti.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

 

Updated:: 13/03/2024 [lanz]

MEDIA SHARING

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BINTULU SARAWAK CAMPUS

Nyabau Road,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcCAO~