59 PELAJAR DIPLOMA KESIHATAN HAIWAN DAN PETERNAKAN SERTAI PROGRAM ‘TUMBINA IN ACTION’: AN ENRICHMENT PROGRAM | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » 59 PELAJAR DIPLOMA KESIHATAN HAIWAN DAN PETERNAKAN SERTAI PROGRAM ‘TUMBINA IN ACTION’: AN ENRICHMENT PROGRAM

59 PELAJAR DIPLOMA KESIHATAN HAIWAN DAN PETERNAKAN SERTAI PROGRAM ‘TUMBINA IN ACTION’: AN ENRICHMENT PROGRAM

BINTULU: Seramai 59 pelajar Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) menyertai program ‘Tumbina In Action!’ yang telah diadakan di Taman Tumbina Bintulu, baru-baru ini.
 
Kesemua 59 orang pelajar yang menyertai program ini adalah daripada program Diploma Kesihatan Haiwan dan Peternakan (DKHP) Semester 2 dan Semester 4 berserta seorang penasihat program daripada Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan. ‘Tumbina In Action!’ merupakan program pengayaan hidupan liar, khususnya kepada spesies unggas yang terdapat di Taman Tumbina, Bintulu Sarawak.
 
Pengayaan atau ‘enrichment’ ini melibatkan penyediaan persekitaran yang merangsang, aktiviti dan pengalaman kepada haiwan yang menyerupai habitat semulajadi mereka dan menggalakkan tingkah laku semulajadi seperti mencari makanan, meneroka, penyelesaian masalah dan interaksi sosial.
 
Aktiviti-aktiviti ini direka untuk mengelakkan kebosanan, mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesihatan serta kesejahteraan keseluruhan haiwan liar yang ditangkap. Aktiviti pengayaan termasuk pengenalan objek baru, teka-teki makanan, perubahan persekitaran, sesi latihan dan peluang untuk bersosialisasi, semuanya disesuaikan dengan keperluan dan keutamaan haiwan yang terlibat.
 
Antara jenis pengayaan yang telah berjaya ditambah di sangkar-sangkar unggas Taman Tumbina Bintulu adalah gabungan aspek 2 dalam 1, yang mengintegrasikan elemen makanan dan permainan. Dalam pelaksanaannya, seku bertangkai atau lebih dikenali sebagai 'spray millet' disangkut pada gantungan buaian yang diperbuat daripada tempurung kelapa yang telah dipasang di dalam sangkar-sangkar burung nuri. Fungsi pengayaan ini tidak hanya memberi peluang kepada burung untuk mendapatkan sumber makanan tambahan, tetapi juga merangsang kegiatan permainan semula jadi mereka, meningkatkan kecerdasan mental dan fizikal.
 
Selain itu, pengayaan dari aspek habitat juga diberikan melalui pembinaan tangga yang dibina khusus untuk memenuhi keperluan ayam-ayam katik. Tangga tersebut membenarkan ayam-ayam katik untuk mengekspresikan tingkah laku normal mereka dengan melompat dan bertenggek, menyediakan lingkungan yang lebih kondusif untuk aktiviti fizikal.
 
Selain itu, pengayaan tambahan termasuk penambahan buaian pada sangkar burung kakaktua dan penempatan kayu balak berbentuk terowong di dalam sangkar burung puyuh. Fungsi buaian dan terowong ini adalah untuk menyediakan ruang berlindung tambahan serta merangsang aktiviti seperti meneroka dan memanjat bagi burung-burung tersebut, memperkaya pengalaman hidup mereka di dalam kurungan.
 
Dengan menyediakan pelbagai elemen pengayaan ini, Taman Tumbina Bintulu dapat meningkatkan kesejahteraan haiwan-haiwan yang berada di bawah penjagaan mereka, sambil mempromosikan kesedaran terhadap keperluan penting bagi perlindungan dan pemeliharaan spesies unggas.
 
Dengan kerjasama pihak Taman Tumbina Bintulu serta Bintulu Development Authority (BDA) program yang berlangsung selama satu hari yang dikelolakan oleh pelajar DKHP Semester 4 Sesi Akademik 2023/2024 telah dilaksanakan dengan jayanya sekali gus mencapai objektif program sulam ini.
 
Secara keseluruhan, program pengayaan ini diadakan bertujuan untuk melahirkan pelajar universiti yang cakna akan kepentingan dan cara menjamin kebajikan unggas secara menyeluruh serta berkemampuan dalam mengaplikasikan sistem perumahan unggas yang bersesuaian selaras dengan ilmu yang telah diperoleh sewaktu program.
 
Tidak dilupakan juga tujuan utama program adalah untuk mengasah kemahiran para pelajar dalam menyediakan keperluan pengayaan kepada unggas agar mereka dapat merangsang tingkah laku semulajadi berdasarkan silibus yang dipelajari, kursus Produksi Poltri (AHP2502).
 
Pengarah program, Mohamad Zuhair Mohamad Affandy berkata, Program pengayaan ini adalah sebahagian daripada usaha pihak pelajar yang telah direalisasikan dengan bantuan dan sumbangan oleh Taman Tumbina Bintulu serta Bintulu Development Authority (BDA) dan sedikit sebanyak dapat dapat memupuk minat pelajar dalam mengenal spesies unggas, termasuk burung kakak tua, burung nuri, ayam belanda, ayam katik dan banyak lagi dengan lebih mendalam, dalam masa yang sama meningkatkan kualiti kehidupan haiwan-haiwan di dalamnya.
 
“Program ini turut memberikan impak yang positif kepada pengunjung di mana mereka dapat merasai pengalaman menyaksikan para pelajar menjalankan aktiviti pengayaan secara langsung dan pada masa yang sama dapat mengetahui kepentingan menyediakan habitat yang sesuai untuk hidupan liar seperti unggas,” katanya.
 
Hasil tinjauan soal selidik mendedahkan demografi pelawat yang pelbagai, dengan majoriti jatuh dalam lingkungan umur 19 hingga 40 di mana sebilangan besar responden telah melawat Tumbina beberapa kali, menunjukkan minat kepada hidupan-hidupan liar yang ada di taman tersebut.
 
Selain itu, terdapat persepsi positif umum tentang keberkesanan usaha pemuliharaan hidupan liar, dan sebahagian besar responden menyedari kepentingan program pengayaan, walaupun terdapat pelbagai tahap pengetahuan mengenainya. Di samping itu, terdapat konsensus mengenai kepentingan pelbagai jenis pengayaan untuk kesejahteraan hidupan liar di dalam kurungan, dengan penekanan kepada keperluan penambahbaikan dan pengembangan program SULAM. Maklum balas daripada pengunjung benar-benar mencerminkan pendekatan proaktif untuk meningkatkan pengalaman mereka dan kesejahteraan hidupan liar di Tumbina.
 
Beliau juga berkata, pihak Taman Tumbina Bintulu dan Bintulu Development Authority (BDA) telah menyumbangkan pelbagai bentuk sokongan dan bantuan dalam menjayakan program ‘Tumbina In Action!’ ini. Melalui pelbagai inisiatif seperti menyediakan bantuan dalam bentuk peralatan dan tempat yang sesuai untuk majlis penutup, pengangkutan, tenaga kerja staf, makanan dan banyak lagi sama ada yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.
 
Selain itu, flora yang terdapat di kawasan universiti juga turut memberi kemudahan kepada program ‘Tumbina In Action’ di mana hampir kesemua bahan semula jadi yang digunakan untuk tujuan pengayaan adalah bersumberkan dari hutan di UPMKB, seperti dahan-dahan kayu dan kayu balak yang diperoleh dari lantai hutan berserta tempurung kelapa. Bahan-bahan yang digunakan dalam aktiviti pengayaan ini juga telah dipilih dengan teliti, di mana hanya sumber semula jadi yang bebas dari bahan-bahan kimia digunakan, bagi memenuhi keperluan habitat sekaligus menjamin keselamatan hidupan-hidupan tersebut.
 
Penasihat program ‘Tumbina In Action!’, Prof. Madya Dr. Juriah binti Kamaludeen menyifatkan pelaksanaan program itu akan mengasah kebolehan berkomunikasi dan kebolehan menyelia pasukan dalam kalangan pelajar yang terlibat sekali gus memperoleh keupayaan bertahan serta memberikan perhatian sepenuhnya terhadap tanggungjawab yang diberikan. Pihak universiti juga berhasrat agar jalinan kerjasama di antara Taman Tumbina Bintulu dalam melaksanakan Tumbina In Action: An Enrichment Program ini dapat dijalankan pada tahun-tahun yang akan datang.
 
 
 
 
 

 

Tarikh Input: 02/04/2024 | Kemaskini: 02/04/2024 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXFCEA6~