1,199.68KG LEBIHAN MAKANAN, MINUMAN DISELAMAT MENERUSI PROGRAM MYSAVEFOOD@BAZAR RAMADAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» BERITA » 1,199.68KG LEBIHAN MAKANAN, MINUMAN DISELAMAT MENERUSI PROGRAM MYSAVEFOOD@BAZAR RAMADAN

1,199.68KG LEBIHAN MAKANAN, MINUMAN DISELAMAT MENERUSI PROGRAM MYSAVEFOOD@BAZAR RAMADAN

BINTULU: Sebanyak 1,199.68 kilogram lebihan makanan dan minuman yang tidak terjual di sebuah bazar Ramadan di Bintulu sepanjang tempoh tujuh hari beroperasi telah diselamatkan oleh Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) bersama Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dari 19 Mac hingga 25 Mac lalu.

Program kesukarelawanan MYSaveFood@Bazar Ramadan yang disertai seramai 35 sukarelawan dalam kalangan pelajar UPMKB itu merupakan inisiatif yang telah dimulakan di Bazar Ramadan Kampung Baru Kuala Lumpur pada 2016.

Kini sebanyak 72 bazar Ramadan di seluruh Malaysia terlibat dalam penganjuran program MYSaveFood@Bazar Ramadan pada tahun ini. 

Bazar pertama yang melaksanakan program tersebut di Bintulu pula ialah Bazar Ramadan di Pusat Komersial Bintulu Sentral berhadapan Restoran Dinner World yang telah memulakan operasinya pada 19 Mac hingga 25 Mac lalu. 

Penyelaras sukarelawan Nurul Syahmah Matsah berkata, penganjuran program ini adalah untuk mengurangkan pembaziran makanan dan minuman pada bulan Ramadan dengan menyalurkan lebihan makanan dan minuman yang tidak terjual kepada golongan memerlukan. 

"Kaedah pelaksanaan program ini adalah menimbang terlebih dahulu makanan dan minuman yang diserah para peniaga bazar untuk direkodkan," katanya. 

Seterusnya katanya, pada setiap bungkusan makanan dan minuman akan diletakkan pelekat peringatan untuk dimakan atau diminum dalam tempoh dua jam selepas diterima. 

Katanya, makanan dan minuman tersebut bukan sahaja diagihkan kepada golongan yang memerlukan malahan kepada para pelajar UPMKB. 

Beliau berkata, Program MYSaveFood@Bazar Ramadan ini mendapat sambutan yang baik daripada para peniaga bazar Ramadan dan sukarelawan UPMKB serta akan menjadikannya sebagai program tahunan pada bulan Ramadan.

Tarikh Input: 01/04/2024 | Kemaskini: 01/04/2024 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXFBVAS~