USAHA MENCAPAI HAB INDUSTRI RENDAH KARBON BAGI BINTULU AGAK MENCABAR | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » USAHA MENCAPAI HAB INDUSTRI RENDAH KARBON BAGI BINTULU AGAK MENCABAR

USAHA MENCAPAI HAB INDUSTRI RENDAH KARBON BAGI BINTULU AGAK MENCABAR

BINTULU: Usaha untuk memastikan Bintulu mencapai hab industri rendah karbon agak mencabar berbanding bahagian lain memandangkan bahagian ini mempunyai banyak industri.

Begitupun, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, pelepasan karbon dapat dikawal dan keadaannya tidak seburuk di beberapa negara lain.

"Sarawak juga melaksanakan strategi dengan penggunaan teknologi tinggi dalam penangkapan karbon," katanya bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Alam Sekitar Mampan 2023 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Bercakap mengenai hubung kaitnya dengan minyak dan gas katanya, industri minyak dan gas, mereka boleh meneruskannya tetapi sebahagian prosesnya perlu diubah suai dari segi penggunaan.

Dr Hazland memberi contoh penggunaan gas dunia adalah 60 peratus untuk pengangkutan dan tenaga menyumbang kepada pelepasan gas karbon dioksida dengan hanya 40 peratus pengeluarannya untuk petro kimia, kimia, baja, plastik dan bahan komposit.

Justeru katanya, mencapai angka kosong (pelepasan karbon dioksida) memerlukan keseimbangan misalnya 60 peratus pengeluarannya untuk material dan 40 peratus untuk pengangkutan dan tenaga. 

"Itu sebabnya kita menggunakan tenaga elektrik dengan bateri EV dan hidrogen untuk pengangkutan," katanya sambil menambah bahawa usaha pengubah suaian perlu dilakukan dalam penggunaan minyak dan gas. 

Menjelaskan lanjut katanya, ada beberapa negara lain menghentikan operasi penggalian minyak dan gas ke arah menangani permasalahan itu tetapi tidak bagi Sarawak kerana ia sumber ekonomi, namun penggunaannya perlu diubah dalam pengangkutan antaranya menggunakan hidrogen dan tenaga elektrik.

Bintulu sebagai sebuah bandar industri katanya, untuk mencapai dasar ekonomi hijau memerlukan kerjasama semua industri untuk komited serta melalui undang-undang karbon yang dikuatkuasakan semua orang akan memainkan peranannya.

"Ia memerlukan penglibatan lebih terperinci kepada Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA)," katanya.

 

Tarikh Input: 05/12/2023 | Kemaskini: 05/12/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcBA7~