UPMKB PERGIAT PENYELIDIKAN TRGS-KPT SEBELUM PINDAH TEKNOLOGI KEPADA PETANI DI SUNGAI ASAP | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » UPMKB PERGIAT PENYELIDIKAN TRGS-KPT SEBELUM PINDAH TEKNOLOGI KEPADA PETANI DI SUNGAI ASAP

UPMKB PERGIAT PENYELIDIKAN TRGS-KPT SEBELUM PINDAH TEKNOLOGI KEPADA PETANI DI SUNGAI ASAP


(Para penyelidik, para pelajar dan petani secara bergotong-royong melakukan aktiviti dan kerja-kerja menugal dan menanam padi bukit baru-baru ini.)


BINTULU: Satu plot tanah seluas satu hektar di kawasan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) diperuntuk bagi menjalankan projek penyelidikan di bawah Skim Geran Penyelidikan Transdisiplinari (TRGS-KPT) 2022.

Pengarah Kampus UPMKB Prof Dr Shahrul Razid Sarbini berkata, plot tanah itu akan menjadi data dasar bagi penyelidik menguji teknologi pemerdanaan biji benih, baja bio, arang bio, racun serangga perosak bio dan pemeringkatan kaedah pra dan lepas tuai secara lapangan sebelum pemindahan teknologi dilakukan kepada petani di Sungai Asap, Belaga.

"Sebanyak empat projek akan dilaksanakan di bawah program ini diketuai para penyelidik UPMKB iaitu Prof Madya Dr Noorasmah Saupi, Prof Dr Patricia King Jie Hung, Dr Tunung Robin dan Dr Adrian Daud serta penyelia plot penyelidikannya Philip Lepun," ujarnya semasa menyempurnakan perasmian Plot Penyelidikan Tanaman Padi Bukit@Padi Huma pada 26 Jun lepas di UPMKB. 

Program itu disertai 30 penyelidik, pelajar siswazah dan golongan petani dalam aktiviti menugal padi bersempena perasmian program tersebut.

Prof Dr Shahrul berkata, kita amat positif dengan impak yang akan diperoleh dalam kajian ini kerana ia menyokong Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) yang telah diperkenal kerajaan bagi menangani isu keterjaminan makanan negara. 

Sementara itu, ketua programnya Prof Madya Dr Noorasmah berkata, projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pengajian Tinggi ini bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran padi Bukit Kerawing di Sungai Asap, Belaga.

Selain itu katanya, ia untuk mengkomersialkan varieti padi tempatan dalam meningkatkan makanan negara agar mencukupi. 

Jelasnya, program dinamakan sebagai Peningkatan Sosioekonomi Peladang Kecil Melalui Intervensi Mampan untuk Meningkatkan Produktiviti Padi Bukit (Kerawing Var) di Sungai Asap, Belaga yang dijangka mampu meningkatkan kuantiti hasil padi Kerawing.

Pada masa sama katanya, ia mengoptimumkan penggunaan input pertanian mampan seperti penggunaan baja bio, arang bio, racun serangga perosak bio serta menambah baik pengurusan lepas tuai bagi mengekalkan kualiti premium varieti ini agar setanding dengan varieti sedia ada seperti beras Bario dan Biris. 

"Kita berharap varieti padi ini kelak boleh menjadi Indikasi Geografi bagi Sungai Asap agar dikenali sebagai (pengeluar) Beras Kerawing Sungai Asap," ujarnya.

Berdasarkan rekod secara keseluruhannya sebanyak RM932,649 telah diperoleh daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menjalankan program ini yang dijangka tamat pada 30 November 2025.

Tarikh Input: 07/07/2023 | Kemaskini: 07/07/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcHAk~