UPM RANKING KE-158 UNIVERSITI TERBAIK DUNIA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » UPM RANKING KE-158 UNIVERSITI TERBAIK DUNIA

UPM RANKING KE-158 UNIVERSITI TERBAIK DUNIA

Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menduduki tangga ke-158 terbaik dunia dalam QS World University Rankings 2024. UPM juga menunjukkan peningkatan kedudukan dalam lima indikator penarafan iaitu Reputasi Akademik (Academic Reputation), Reputasi Majikan (Employer Reputation), Sitasi per Staf Akademik (Citations per Faculty), Staf Akademik Antarabangsa (International Faculty) dan Pelajar Antarabangsa (International Students) dengan indikator pelajar antarabangsa dilihat sebagai kekuatan utama UPM apabila menduduki tangga ke-72 di dunia.
 
Pada tahun ini, pihak Quacquarelli Symonds (QS) iaitu penganjur penarafan telah menambah tiga indikator baharu menjadikannya sembilan (9) indikator penilaian keseluruhan berbanding hanya enam (6) indikator pada tahun sebelumnya. Selain itu, perubahan juga turut dilakukan terhadap beberapa pemberat indikator.
 
UPM memandang serius tiga indikator baharu QS World University Rankings iaitu Kolaborasi Penyelidikan Antarabangsa (International Research Network), Kelestarian (Sustainability), dan Impak Pekerjaan (Employment Outcomes) yang diwujudkan bermula tahun ini.
 
Pihak pengurusan universiti sedang mengorak langkah dan menyusun usaha menilai dan menambah baik strategi sedia ada. Perubahan dalam indikator penilaian QS World University Rankings 2024 kali ini memberikan perspektif serta penanda arasan baharu dalam amalan dan pencapaian UPM yang sedia ada terutama dalam penghasilan penyelidikan yang berimpak tinggi serta penghasilan graduan yang berkualiti.
 
Pertambahan jumlah pelajar antarabangsa yang mengikuti program pengajian di UPM menunjukkan peningkatan reputasi serta pengiktirafan antarabangsa terhadap kemampuan tenaga akademik di universiti ini dalam memastikan penawaran program adalah mengikut trend semasa.
 
Naib Canselor UPM, Yang Berbahagia Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, “UPM akan terus komited dalam memperkasakan penyelidikan yang berkualiti dalam bidang tujahan utama khususnya bidang pertanian dan keterjaminan makanan di samping meningkatkan reputasi universiti di peringkat kebangsaan dan juga global.”
 

 

Tarikh Input: 03/07/2023 | Kemaskini: 03/07/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcMAU~