SARAWAK TAMBAH DANA UNTUK PROJEK TANAMAN PADI, SEKURITI MAKANAN TERJAMIN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » SARAWAK TAMBAH DANA UNTUK PROJEK TANAMAN PADI, SEKURITI MAKANAN TERJAMIN

SARAWAK TAMBAH DANA UNTUK PROJEK TANAMAN PADI, SEKURITI MAKANAN TERJAMIN

SRI AMAN: Sarawak akan menambah peruntukan bagi projek tanaman dan pengeluaran padi di negeri ini dalam usaha membantu meningkatkan bekalan beras, sekali gus menjamin sekuriti makanan negara. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata ia berikutan peruntukan sebanyak RM173 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk projek tersebut tidak mencukupi.

Katanya, peruntukan besar diperlukan untuk menyediakan sistem pengairan yang lebih baik agar dapat meningkatkan pengeluaran padi.

“Saya menganggarkan jumlah itu mungkin tidak mencukupi, justeru kita juga akan menambah peruntukan dalam projek ini yang memerlukan sistem pengairan. Ini kerana kosnya agak tinggi,”katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Pusat Pengeluaran dan Pemprosesan Benih Padi (SPPC) Stumbin di sini pada Ahad. 

Jelas Datuk Patinggi Abang Zohari, peruntukan itu bagi membangunkan projek penanaman padi di kawasan selatan dan kawasan utara secara berperingkat. 

“Kerajaan Sarawak akan memberi peruntukan tersebut untuk kita membangunkan secara beransur-ansur projek penanaman padi di kawasan selatan, termasuk Simunjan, Gedong serta Sri Aman, manakala kawasan utara pula meliputi Limbang, Lawas dan sebahagian daripada Bekenu masing-masing 10,000 hektar setakat ini,”ujar beliau. 

Hadir sama ke lawatan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Datuk Mong Dagang, Ahli Parlimen Batang Lupar Shafizan Mohamad Kepli, Pengerusi Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) Dato Sri Rohani Abdul Karim dan Residen Bahagian Sri Aman Abang Porkan Abang Budiman.-EDISI UKAS

 

Tarikh Input: 13/03/2024 | Kemaskini: 13/03/2024 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcFA7~