SARAWAK MAHU MENJADI PENYUMBANG SUMBER TENAGA HIJAU DIPERBAHARUI DUNIA | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » SARAWAK MAHU MENJADI PENYUMBANG SUMBER TENAGA HIJAU DIPERBAHARUI DUNIA

SARAWAK MAHU MENJADI PENYUMBANG SUMBER TENAGA HIJAU DIPERBAHARUI DUNIA

BINTULU: Sarawak terus agresif melaksanakan usahanya untuk menangani perubahan iklim dunia dengan menggunakan sumber alam semula jadinya sebagai penyumbang sumber tenaga hijau diperbaharui untuk keperluan dunia termasuk negeri ini.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, perubahan iklim merupakan fenomena semula jadi sememangnya akan berlaku sehingga terjadinya bencana alam dan sebagainya.

"Keadaan itu adakah disebabkan revolusi industri atau pilihan salah mengguna bahan tenaga gas dan minyak fosil sehingga mengakibatkan pemanasan global yang membawa peningkatan suhu dunia kepada 1.5 darjah Selsius mahupun lebih, pelepasan karbon dioksida, sulfur dioksida, nitrus oksida dan kesan gas rumah hijau?" soalnya.

"Penyelesaiannya mudah, ia maknanya kita memerlukan tenaga diperbaharui untuk menangani permasalahan tersebut," katanya berucap merasmikan Seminar Alam Sekitar Mampan 2023 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Seminar bertemakan 'Mengimbangi Bumi dan Ekonomi Jalan Menuju Kemampanan' merupakan anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Justeru katanya, bencana alam yang berlaku di seluruh dunia, perubahan iklim serta semua cuaca ekstrim melibatkan banjir, taufan, kemarau, kebakaran hutan dan sebagainya adalah kesan peningkatan suhu global pada hari ini.

Menurutnya, saintis meramalkan satu ke dua dekad tahun 2050, suhu global akan terus meningkat kepada 2.2 darjah celsius sekali gus akan menyukarkan usaha memulih semula kesan pemanasan global dan perubahan iklim tersebut. 

"Ia bukan soal ekonomi tetapi persoalan mengenai generasi masa depan. Apa yang Sarawak buat, pada tahun 1985 Allahyarham Tok Nan (Pehin Sri Adenan Satem) pernah bercakap mengenai perubahan iklim semasa persidangan Dewan Undangan Negeri(DUN). 

"Tok Nan merupakan pemimpin pertama yang bercakap mengenainya tetapi sedihnya tiada siapa mengambil perhatian akan perkara itu sehingga tahun 2017 apabila YAB Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi perhatian semula ucapan itu dan merancang secara agresif bagaimana Sarawak boleh menyumbang ke arah tersebut," jelasnya.

Tidak hanya itu katanya, Sarawak yang mempunyai banyak sumber alam semula jadi ternyata memenuhi keperluan dan usaha itu yang bukan sahaja menjadikannya pendapatan, modal bahkan menjadi sebahagian strategi mewujudkan pendapatan baharu untuk Sarawak.

"Sarawak patut bersyukur kerana dikurniakan banyak sumber dengan tanahnya luas hampir sama dengan Semenanjung Malaysia dianggarkan 12.4 juta hektar dan 62 peratus pula diliputi hutan termasuk hutan bakau dan sebagainya tidak termasuk sumber luar pantai Sarawak. 

"Kita menganggarkan Sarawak mempunyai karbon dari pokok hutan, bakau dan sebagainya dengan stok simpanannya antara 750 juta tan sehingga maksimum 1 bilion tan," katanya sambil menambah harganya sangat tinggi sehingga mencecah $USD 120 per tan untuk perdagangan karbon di Eropah, China, Amerika Syarikat dan Jepun.

Beliau berkata, sekiranya mengguna kaedah 'Voluntary Carbon Market' (VCM) dengan menjual terus kepada pembelinya mengikut undang-undang Sarawak yang telah termaktub bukan sahaja memberikan pulangan dan sumber pendapatan hasil kepada pemilik tanah bahkan untuk Sarawak keseluruhannya melalui cukai jualan kerajaan.

"Ia bergantung kepada kesanggupan menjual dan kesanggupan membeli bahan itu akan menentukan harganya, sudah tentu pemilik tanah mendapat lebih manfaat dan Sarawak juga akan ke depan untuk mengawal selia perdagangan karbon berbanding negara lain di seluruh Asia," jelasnya.

Pada masa sama katanya, ia tidak hanya perdagangan karbon bahkan penangkapan karbon yang pertama di Malaysia, di dunia dan Asia yang dilaksana Sarawak sekali gus telah mengeluarkan lesen pada Mac tahun ini kepada syarikat pembalakan terbesar di Sarawak untuk industri itu.

Katanya, sekiranya syarikat pembalakan besar mengiktiraf untuk tidak lagi menebang pokok hutan sebaliknya memulihara pokok hutan dan ke arah perdagangan karbon maka mereka telah menyedari potensi hasil lebih diperolehi berbanding dengan pembalakan.

"Kita ingin memberhentikan penebangan hutan segera tetapi mereka boleh melakukan perhutanan semula dengan 20 peratus tanah mereka ditanam pokok hutan mengguna spesies cepat membesar dalam tempoh lima ke enam tahun untuk eskport, perabot dan sebagainya," katanya. 

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang, ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon, Timbalan Pengerusi BDA Dato Haidar Khan Asghar Khan, Pengurus Besar BDA Datu Muhamad Yakup Kari dan Pengarah Kampus UPMKB Prof Dr Shahrul Razid Sarbini.

 

Tarikh Input: 05/12/2023 | Kemaskini: 05/12/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcLA7~