SAINTIS UPM JALANKAN PENYELIDIKAN RUMPUT LAUT SPESIS HALOPHILA BECCARII YANG KIAN TERANCAM | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » SAINTIS UPM JALANKAN PENYELIDIKAN RUMPUT LAUT SPESIS HALOPHILA BECCARII YANG KIAN TERANCAM

SAINTIS UPM JALANKAN PENYELIDIKAN RUMPUT LAUT SPESIS HALOPHILA BECCARII YANG KIAN TERANCAM

SERDANG, 7 Julai – Saintis Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang ekosistem marin, Prof. Dr. Muta Harah Zakaria @Ya telah menjalankan penyelidikan rumput laut spesis Halophila Beccarii yang kian terancam.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian, UPM berkata, fungsi rumput laut itu adalah sebagai penapis air, menstabilkan sedimen hakisan, menyediakan ruang makan dan habitat untuk pelbagai komuniti orgasnisma akuatik dan mengawal kitaran nitrogen.

"Pemuliharaan dan pemulihan rumput laut adalah penting kerana ekosistem rumput laut memberi manfaat terutamanya kepada masyarakat pesisir pantai yang bergantung menyara kehidupan dengan sektor perikanan,” katanya pada Majlis Syarahan Inaugural bertajuk “A Journey to the Fascinating World of Seagrasses: Past, Present and Future”.

Prof. Dr. Muta Harah telah mula berkecimpung dalam penyelidikan projek penanaman semula rumput laut spesis tersebut sejak tahun 1995 berkata, inisiatif yang dilakukan ini bagi melindungi ekosistem tumbuhan marin yang menampung keseluruhan rantai makanan yang berfungsi sebagai makanan untuk zooplankton, invertebrata, dugong, dan beberapa spesis penyu dan ikan.

“Pemeliharaan rumput laut adalah kunci untuk mengekalkan kepelbagaian biologi laut dan kestabilan perikanan di masa hadapan bagi menangani ancaman ini dan dengan menyelamatkan rumput laut ianya menyelamatkan ekosistem laut negara,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia telah melaksanakan pelbagai langkah pemuliharaan antaranya penubuhan kawasan perlindungan marin seperti pewartaan Taman Laut Gugusan Kepulauan Lima, Johor pada tahun 2022 yang melindungi sebahagian besar habitat rumput laut.

"Pemuliharaan dan pemeliharaan rumput laut ini akan giat dipertingkatkan lagi dengan menggunakan pemetaan dron udara bagi mendapatkan data analisis yang sedia ada daripada Google Earth Pro (GEP), ArcGIS dan ArcMap bagi memantau kawasan dan merawat rumput laut di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur," katanya.

Tarikh Input: 10/07/2023 | Kemaskini: 10/07/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEdBAW~