RATUSAN ANAK POKOK SPESIES TEMPATAN DITANAM DI TAMAN PERINDUSTRIAN SAMALAJU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » RATUSAN ANAK POKOK SPESIES TEMPATAN DITANAM DI TAMAN PERINDUSTRIAN SAMALAJU

RATUSAN ANAK POKOK SPESIES TEMPATAN DITANAM DI TAMAN PERINDUSTRIAN SAMALAJU

Sebanyak 300 anak pokok spesies tempatan merangkumi merawan siput jantang (Hopea odorata) dan belian (Eusideroxylon Zwageri) serta 50 pokok landskap spesies pokok doa (Bucida molineti) dan sangkakala (Tabebuia pentaphylla) telah ditanam baru-baru ini di pekarangan syarikat Press Metal Bintulu Sdn Bhd di Taman Perindustrian Samalaju.

Kerja-kerja penanaman pokok itu dilakukan sempena Program Kesedaran Alam Sekitar 1 Ras 1 Pokok dan Denai Sungai Kebangsaan Hari Alam Sekitar Sedunia 2023 anjuran Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Press Metal Bintulu, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Bintulu telah disertai 100 peserta terdiri daripada kakitangan syarikat dan agensi terlibat.

Ketua JAS Cawangan Bintulu Abdul Mazli Hafiz Abdul Malik berkata, pokokpokok yang ditanam tersebut mampu meningkatkan kualiti udara dengan menapis bahan cemar sekali gus

mengingatkan komuniti di taman perindustrian itu agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka bagi mengelak pencemaran udara ketika musim kering.

“Aspek persekitaran bersih yang mampan dalam pembangunan pesat Bintulu tidak boleh dipandang remeh kerana alam sekitar adalah penting kepada semua hidupan terutama untuk komuniti generasi akan datang,” katanya.

Justeru katanya, melalui usaha penanaman pokok tersebut secara tidak langsung menggalakkan pelbagai impak positif antaranya menangani perubahan iklim melalui penyerapan karbon dioksida, meningkatkan kualiti udara melalui penapisan dipertingkatkan dan mengurangkan hakisan serta mewujudkan habitat untuk spesies fauna.

Katanya, ia amat penting untuk memulihkan kawasan terdegradasi, memelihara biodiversiti dan mencipta masa depan mampan serta berdaya tahan untuk generasi akan datang.

Pada masa sama Pengarah Kampus UPMKB Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini berkata, program pemulihan ini mewakili pendekatan perubahan untuk memulihkan ekosistem yang rosak dan membaik pulih kawasan yang terjejas.

Katanya, dengan menanam pokok akan menggalakkan amalan pengurusan tanah mampan, memulih biodiversiti, meningkatkan kesihatan tanah dan mewujudkan ekosistem berdaya tahan yang memberi manfaat kepada alam semula jadi dan komuniti.

“UPMKB merakamkan penghargaan kepada Press Metal Bintulu yang telah menaja sepenuhnya program ini,” katanya.

Program tersebut telah dirasmikan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Dato Majang Renggi.

Tarikh Input: 01/08/2023 | Kemaskini: 01/08/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcUAm~