PROGRAM JUH BEREKOT KONVO SEMPENA MAJLIS KONVOKESYEN KE - 47 DI UPMKB | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » PROGRAM JUH BEREKOT KONVO SEMPENA MAJLIS KONVOKESYEN KE - 47 DI UPMKB

PROGRAM JUH BEREKOT KONVO SEMPENA MAJLIS KONVOKESYEN KE - 47 DI UPMKB

BINTULU: Acara pertandingan larian jarak jauh semakin mendapat sambutan di kalangan masyarakat umum pada kebelakangan ini. Aktiviti seperti larian bagi kutipan dana sehinggalah ke acara marathon mendapat sambutan yang baik tanpa mengira latar belakang individu yang menyertainya. Aktiviti kombinasi larian di trek dan juga larian jejak (trail running) turut mendapat sambutan yang menggalakkan. Sejajar dengan itu, sempena Pesta Konvokesyen UPMKB 2023, Pusat Pertanian Putra UPMKB telah menganjurkan Program Juh Berekot Konvo 2023 pada 29 Oktober 2023 (Ahad) bertempat di Dewan Sri Kenyalang bermula dari jam 5.00 pagi sehingga 9.30 pagi.
 
Penasihat program merangkap Timbalan Pengarah Pusat Pertanian Putra, UPMKB Prof Madya Dr. Amy Halimah berkata program larian yang julung kali diadakan ini terbuka kepada semua yang berumur 15 tahun ke atas telah mendapat sambutan positif dan menggalakkan. Seramai 300 orang terdiri dari pelajar dan staf UPMKB serta peserta luar bukan sahaja dari Bintulu tetapi juga dari Sibu, Miri dan Kuching telah menyertai program larian berjarak 5.5 km ini yang mempertandingkan dua kategori iaitu kategori lelaki dan perempuan.
 
Menurut En. Khalid Nawi (Pengarah Program), idea menganjurkan larian itu tercetus selepas menyedari sambutan menggalakkan terhadap mana-mana penganjuran larian sebelum ini serta menyokong aktiviti yang menggalakkan keseimbangan kesihatan mental dan fizikal untuk warga UPMKB khasnya dan masyarakat setempat amnya dan pada masa yang sama dapat membantu mempromosikan UPMKB melalui acara sukan larian, jelasnya.
 
Acara pelepasan peserta (flag-off) telah disempurnakan oleh Pengarah Kampus UPMKB, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini dan beliau menyeru masyarakat khususnya di Bintulu dan Sarawak amnya agar memberi sokongan terhadap usaha ini dan sama-sama menyahut semangat larian kecergasan dan kesihatan demi perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian bersama.
 
Pemenangan bagi kategori lelaki, tempat ketiga dimenangi oleh En. Wan Irfan Hakim Bin Wan Ismail (29.38 minit), Naib Johan En. Suliman Bin Yuran (23.00 minit) dan seterusnya Johan Juh Berekot Konvo kali ini disandang oleh En. Harresh A/L Ramesh Kumar dengan catatan masa 20.53 minit.
 
Sementara pemenangan bagi kategori perempuan pula, tempat ketiga Cik Darshini Abigail A/P Ganasan (47.51 minit), naib johan Pn. Zalifah Binti Jahuni peserta daripada Miri dengan catatan minit 42.27, dan seterusnya Johan Cik Sophia Anak Peter dengan catatan masa 34.53 minit.
 
Pihak UPMKB turut merakamkan ribuan terima kasih kepada semua penaja yang telah memberi sumbangan dan sokongan dalam menjayakan program ini terutamanya kepada Bintulu Port Holdings Berhad yang merupakan penaja utama program Juh Berekot Konvo kali ini serta penaja lain iaitu TBS Agromill S/B, Perniagaan MJ, Trihope Multi Electrobiz, Evergrow Rj General Contractor, Native Synergy S/B, Pn. Norlizan Awang dan semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
 
Setinggi penghargaan juga diucapkan kepada semua barisan urusetia dan Jawatankuasa Pelaksana program kerana telah bertungkus lumus membanting tenaga menjayakan program in dan berhasrat agar program ini dapat dilaksanakan sebagai acara tahunan sebagai salah satu aktiviti sempena Pesta Konvokesyen.
 
Seterusnya pihak UPMKB ingin mengajak warga masyarakat untuk berambeh di UPM Kampus Bintulu Sarawak untuk sama-sama memeriahkan Pesta Konvokesyen 2023 bermula 2 Nov 2023 (Khamis) hingga 5 Nov 2023 (Ahad), jam 8.00 pagi – 11.00 malam bertempat di Tapak Ekspo Dewan Sri Kenyalang, UPMKB. Apa yang menarik? Pelbagai aktiviti dan gerai jualan sempena Pesta Konvo akan diadakan dan menawarkan pelbagai jualan produk makanan dan minuman, cenderahati dan bunga konvokesyen, hasil pertanian PPP pada harga berpatutan, pertandingan (E-sport, Rugby 7 Sides, Karaoke), Archery, Flying Fox, Kayak, Malam Kebudayaan Konvo, Bermukun dan Persembahan Artis Jemputan.
 
Orang ramai juga berpeluang menyertai aktiviti Putra Bakti @ Animal Exhibition (AnimEX 5.0) bertujuan menimbulkan kesedaran kepada komuniti tentang kepentingan kemahiran khas penjagaan haiwan peliharaan, reptilia dan haiwan akuatik di samping dapat mempamerkan spesies ternakan yang terdapat di UPMKB. Juh datang sitok!
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

 

Tarikh Input: 01/11/2023 | Kemaskini: 01/11/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcDAW~