PENUBUHAN PLOT PENYELIDIKAN PADI BUKIT KERAWING DI UPMKB MEMACU PEMBANGUNAN PERTANIAN DI SARAWAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » PENUBUHAN PLOT PENYELIDIKAN PADI BUKIT KERAWING DI UPMKB MEMACU PEMBANGUNAN PERTANIAN DI SARAWAK

PENUBUHAN PLOT PENYELIDIKAN PADI BUKIT KERAWING DI UPMKB MEMACU PEMBANGUNAN PERTANIAN DI SARAWAK

Bintulu – Sebanyak 30 individu yang terdiri daripada penyelidik, pelajar siswazah dan golongan petani telah turut serta dalam aktiviti Menugal (menanam padi) bersempena Majlis Perasmian Plot Penyelidikan Tanaman Padi Bukit@Padi Huma yang telah berlangsung di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB). Majlis yang diadakan secara ringkas ini telah diadakan pada 26 Jun 2023 dan dirasmikan oleh Pengarah Kampus, UPMKB, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini. Ujarnya, seluas 1 hektar tanah telah diperuntukkan bagi menjalankan projek penyelidikan di bawah Skim Geran Penyelidikan Transdisiplinari (TRGS-KPT) 2022 ini. “Plot ini akan menjadi ‘base-line data’ bagi penyelidik untuk menguji teknologi pemerdanaan biji benih, biobaja, bioarang, biopestisid dan pemeringkatan kaedah pra dan lepas tuai secara lapangan sebelum pemindahan teknologi dilakukan kepada petani di Sungai Asap, Belaga, Bintulu kelak”, katanya.

Bercakap kepada pemberita, Ketua Program, Prof. Madya Dr. Noorasmah Saupi berkata, projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pengajian Tinggi ini bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran padi bukit Kerawing di Sungai Asap, Belaga, Sarawak selain untuk mengkomersialkan varieti padi tempatan dalam meningkatkan kecukupan makanan negara. Tambah beliau lagi, program yang dinamakan Improvement of Sosioeconomic of Small-Scale Farmers Through Sustainable Intervention to Increase Hill Paddy (Kerawing Var.) Productivity at Sg Asap, Belaga Sarawak ini dijangka mampu meningkatkan kuantiti hasil padi Kerawing, mengoptimumkan penggunaan input pertanian yang mampan seperti penggunaan biobaja, bioarang dan biopestisid serta menambah baik pengurusan lepastuai bagi mengekalkan kualiti premium varieti ini agar setanding dengan varieti sedia ada seperti beras Bario dan Biris. “Kita berharap varieti padi ini kelak boleh menjadi Indikasi Geografi (Geographical Indication) bagi Sungai Asap yang boleh dikenali sebagai Beras Kerawing Sungai Asap”, ujarnya.

Menurut Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, sebanyak 4 projek akan dilaksanakan di bawah program ini yang diketuai oleh penyelidik di UPMKB iaitu Prof. Madya Dr. Noorasmah Saupi, Prof. Dr Patricia King Jie Hung, Dr. Tunung Robin dan Dr. Adrian Daud manakala penyelia bagi plot penyelidikan ini ialah En. Philip Lepun. “Kita amat positif dengan impak yang akan diperoleh dalam kajian ini kerana ianya menyokong Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) yang telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan bagi menangani isu keterjaminan makanan negara”, ujar beliau.

Untuk rekod, secara keseluruhannya sebanyak RM932,649 telah diperoleh dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menjalankan program ini yang dijangka tamat pada 30 November 2025.

 

Tarikh Input: 06/07/2023 | Kemaskini: 06/07/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcBAQ~