PELAJAR IPTA LEGA, KERAJAAN PRIHATIN ‘KELUHAN’ TIKET PENERBANGAN MAHAL | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » PELAJAR IPTA LEGA, KERAJAAN PRIHATIN ‘KELUHAN’ TIKET PENERBANGAN MAHAL

PELAJAR IPTA LEGA, KERAJAAN PRIHATIN ‘KELUHAN’ TIKET PENERBANGAN MAHAL

PETALING JAYA: Pelajar universiti awam kini mampu menarik nafas lega dengan inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan laluan domestik bernilai RM300 antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang akan bermula 15 Ogos depan.

Mereka menyifatkan berita gembira itu antara yang paling ditunggu-tunggu sejak kaki melangkah ke negeri orang demi mengejar impian dan cita-cita.

Artikel berkaitan: Kerajaan setuju subsidi RM300 tike penerbangan pelajar IPTA

Manakan tidak, dek kerana tiket penerbangan yang melambung tinggi khususnya ketika di musim perayaan, ada di antara mereka terpaksa mengikat perut semata-mata mahu mengumpul wang demi perbelanjaan pulang ke kampung halaman.


Pelajar jurusan Sains Akuakultur Universiti Putra Malaysia (UPM) Bintulu, Muhammad Aiman Aishamuddin.

Bagi pelajar jurusan Sains Akuakultur Universiti Putra Malaysia (UPM) Bintulu, Muhammad Aiman Aishamuddin, sepanjang dua tahun dia menjejakkan kaki ke Bintulu, hanya sekali dia berpeluang pulang ke kampungnya di Kuala Lipis berikutan harga tiket kapal terbang yang mahal.

Lebih menyayat hati, hasrat menyambut Aildilfiri bersama keluarga terpaksa dilupakan.

“Untuk pulang ke semenanjung sahaja harga tiket mencecah lebih RM500. Itu tidak termasuk tiket kembali semula ke Bintulu.

Jumlah kalau nak kira-kira semuanya mencecah lebih RM1,000. Kami pelajar tiada gaji, hanya harapkan perbelanjaan keluarga.

Pinjaman PTPN pun cukup-cukup sahaja untuk satu semester,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Pelajar jurusan Komunikasi Massa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prisca Empiang Robin.

Nada sama turut dikongsi pelajar jurusan Komunikasi Massa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prisca Empiang Robin dari Sibu, Sarawak.

Malah dia hampir menolak tawaran menyambung pengajian di UiTM, Shah Alam selepas trauma dengan kisah “tiket mahal” oleh rakan-rakannya.

“Saya ini bukan daripada keluarga senang. Bayangkanlah kalau lebih RM1,000 diperlukan kalau nak balik kampung semasa Hari Natal. Saya bersyukur RM300 ini dapatlah bantu saya dan kawan-kawan nak balik kampung,” katanya.

Sementara itu, bagi anak jati Kota Kinabalu, Razlan Habil, pelajar jurusan Kejuruteraan Minyak dan Gas UiTM Shah Alam, dia bersyukur keluhan mahasiswa selama ini didengari kerajaan.

Beliau yang juga ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM berkata isu tiket penerbangan yang mahal antara perkara yang dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kunjungan beliau ke UiTM Shah Alam, Ramadan lalu.

“Saya mewakili MPP UiTM seluruh Malaysia dari Borneo ingin berterima kasih kepada PM dan Menteri Pengangkutan kerana mendengar keluhan dan suara kami. Saya yakin inisiatif RM300 itu sangat-sangat membantu kami para pelajar dalam golongan B40,” katanya.

Kementerian Pengangkutan hari ini mengumumkan kaedah pemberian ‘credit shell’ akan dikeluarkan syarikat penerbangan kepada mana-mana pelajar universiti awam yang layak.

Dianggarkan lebih 56,000 pelajar universiti awam bakal menerima manfaat daripada iniasiatif berkenaan dengan implikasi kos keseluruhan dianggarkan berjumlah RM16.8 juta.

 

Tarikh Input: 13/07/2023 | Kemaskini: 13/07/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcAAX~