PELAJAR DAN GURU DARI CHINA IKUTI LAWATAN FKPS KE UPMKB | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » PELAJAR DAN GURU DARI CHINA IKUTI LAWATAN FKPS KE UPMKB

PELAJAR DAN GURU DARI CHINA IKUTI LAWATAN FKPS KE UPMKB

Seramai 30 pelajar dan dua guru pengiring dari Zhejiang Industry Polytechnic College, Shaoxing, China telah mengikuti Program Lawatan Sekolah Antarabangsa Fakulti Kemanusiaan Pengurusan dan Sains (FKPS) 2023 di FKPS Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) selama lapan hari bermula 16 hingga 24 Ogos lalu.

Program tersebut memberi pengalaman pembelajaran kepada mahasiswa luar negara itu tentang budaya dan pendidikan di Malaysia dengan menggabungkan pembelajaran secara kuliah, perkongsian ilmu serta peluang untuk pelajar terbabit mengenali sosiobudaya Malaysia.

UPMKB dalam kenyataannya berkata, pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang berlangsungnya program itu, antaranya kursus pembelajaran bahasa Melayu disampaikan dalam bahasa Cina oleh pensyarah.

Katanya, ia bertujuan memudahkan para pelajar menguasai asas pertuturan bahasa Melayu dengan mudah sebagai landasan kemahiran interaksi sosial serta memberi pengalaman dan pendedahan terhadap keunikan Malaysia yang berbilang kaum, etnik serta warisan budaya.

“Satu slot khas perkongsian penceramah berpengalaman dalam bidang warisan, seni dan budaya juga diadakan,” ujarnya dalam kenyataan di sini, semalam.

Selain itu katanya, perkongsian turut meliputi topik aspirasi antarabangsa dan keupayaan pemikiran global yang perlu dimiliki oleh mahasiswa.

“Ia bertujuan membentuk pelajar berpersonaliti unggul bertunjangkan kekuatan psikologikal dan kemantapan empati antara budaya serta kemahiran interpersonal rentas sempadan agar selaras dengan tuntutan semasa sejagat,” katanya.

Beliau berkata, topik pengalaman ekonomi Malaysia masa lalu, keadaan semasa dan cabaran masa depan impak daripada ketidaktentuan ekonomi global turut dikongsi.

Jelasnya, pelajar itu didedahkan proses pembangunan ekonomi Malaysia dari krisis dihadapi dan kaedah penyelesaian yang diadaptasi Malaysia.

Menurutnya, pendedahan ini menjadi nilai tambah kepada pelajar itu untuk terus berdaya saing dalam ekonomi global terutama persediaan menghadapi krisis dan pengurusan kewangan.

Tambahnya, krisis dan kejayaan ekonomi Malaysia menjadi suri teladan kepada pelajar agar dapat dicerakin bagi melahirkan modal insan terus berdaya saing serta memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Malaysia.

Dalam perkembangan lain katanya, pelajar tersebut juga didedahkan dengan sistem pendidikan Malaysia yang merangkumi pendidikan prasekolah hingga ke pengajian tinggi untuk melahir modal insan kreatif, inovatif, berkemahiran tinggi serta meningkatkan daya saing negara melalui peningkatan kualiti modal insan.

Justeru katanya, tentatif diperkemaskan dengan perkongsian dasar pendemokrasian dan pengantarabangsaan pendidikan tinggi berteraskan kejayaan pengenalan program pemindahan kredit dan program berkembar di Malaysia bersama universiti luar negara bukan sahaja melahir graduan berkualiti tinggi bahkan merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Turut menjadi sorotan ialah program UPM dengan memberi maklumat kepada para peserta tentang gambaran program prasiswazah dan pascasiswazah yang ditawarkan di UPM,” jelasnya.

Untuk aktiviti luar katanya, peserta berpeluang melawat Gua Niah (Miri), rumah panjang dan sekitar Bintulu bersama kakitangan dan pelajar UPM supaya memberi pengalaman lebih bermakna kepada mereka tentang sejarah seni bina Malaysia, gaya dan inti pati budaya serta usaha perlindungan alam sekitar.

Katanya, peserta berpeluang beramah mesra dengan pelajar tempatan semasa di kampus, mengambil bahagian dalam aktiviti jaringan persahabatan, bertemu rakan sebaya dua negara serta dapat bekerjasama dalam kelompok siswa yang berketerampilan dan berdisiplin.

 

Tarikh Input: 04/09/2023 | Kemaskini: 04/09/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcVAG~