KEMURUNGAN: APA YANG PERLU ANDA TAHU? | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » KEMURUNGAN: APA YANG PERLU ANDA TAHU?

KEMURUNGAN: APA YANG PERLU ANDA TAHU?

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, pada tahun 2023, seramai 6,955 individu yang menjalani penapisan melalui My Minda, sebanyak 2,820 orang dikesan berisiko mengalami kemurungan manakala 1,271 individu mengalami gejala kemurungan yang ketara.

Kemurungan adalah gangguan perasaan yang menyebabkan seseorang merasa sedih secara berpanjangan, mengalami keletihan, kekurangan tenaga, mudah marah, dan kehilangan minat dalam aktiviti harian.

Penting untuk memahami bahawa penyakit kemurungan berbeza daripada kesedihan biasa. Adalah normal untuk merasa sedih apabila menghadapi peristiwa negatif atau menyedihkan, tetapi perasaan tersebut tidak berpanjangan, dan seseorang masih dapat menjalankan tugas harian seperti biasa. Namun, jika sedih berterusan dan mulai mengganggu fungsi harian, maka anda perlu memberikan perhatian pada gejala yang anda alami.

Berikut adalah gejala-gejala penyakit kemurungan yang perlu diperhatikan:

  • Perasaan sedih hampir setiap hari.
  • Sentiasa merasa gagal, bersalah, dan malang terhadap diri sendiri.
  • Kehilangan daya tumpuan, kesukaran membuat keputusan, dan masalah ingatan.
  • Pergerakan atau pemikiran yang melambat.
  • Kehilangan minat dalam aktiviti yang biasa dinikmati.
  • Hilang selera makan atau selalu terlalu makan.
  • Gangguan tidur, sama ada kurang tidur atau tidur berlebihan.
  • Mudah penat, lenguh-lenguh, dan pening.
  • Memikirkan atau merancang untuk melakukan tindakan bunuh diri.


[Penyebab Kemurungan]

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kemunculan penyakit kemurungan:

  • Ketidakseimbangan bahan kimia dalam otak, terutamanya serotonin,  norepinefrin, dan dopamine, yang penting untuk mengawal perasaan dan emosi kita.
  • Faktor keturunan, di mana seseorang yang memiliki keluarga dengan riwayat kemurungan berisiko lebih tinggi.
  • Faktor persekitaran, seperti peristiwa hidup yang mencabar dan kekurangan sokongan sosial dari keluarga dan rakan-rakan.
  • Penggunaan beberapa jenis ubat, seperti ubat darah tinggi, yang dapat memicu episod kemurungan, walaupun gejala ini boleh berkurang apabila ubat tersebut dihentikan.
  • Pola pemikiran yang negatif dan distorsi dalam persepsi diri,    kehidupan, dan dunia secara keseluruhan.
  • Penyalahgunaan dadah atau alkohol.
  • Kehilangan orang yang dicintai.


[Bagaimana Kemurungan Dapat Dirawat]

Rawatan untuk kemurungan bergantung kepada tahap keparahannya. Lebih daripada 80% individu dengan kemurungan dapat pulih sepenuhnya dengan rawatan yang sesuai.

Bagi gejala kemurungan yang ringan, rawatan biasanya tidak memerlukan ubat anti-kemurungan. Terapi psikologi, seperti Cognitve Behavioral Therapy (CBT), dapat membantu individu mengenali masalah, mengendalikan pemikiran negatif, dan memberikan sokongan emosi.

Selain itu, individu dianjurkan untuk menjalani gaya hidup sihat. Bagaimanapun, untuk gejala yang lebih serius atau berat, ubat anti-kemurungan mungkin diperlukan untuk tempoh tertentu.

Rawatan awal adalah penting untuk pulih lebih cepat dan memulihkan kualiti hidup. Oleh itu, penting untuk mencari bantuan profesional jika anda atau seseorang yang anda kenali mengalami gejala kemurungan. Jangan biarkan kemurungan mengganggu kehidupan anda.

[Bagaimana Untuk Menyemak Keadaan Diri]

Proses diagnosis sama ada anda mempunyai kemurungan klinikal atau 'Major Depressive Disorder' ditentukan oleh Pakar Psikiatri di Hospital. Anda boleh pergi berjumpa dengan kaunselor untuk membincangkan gejala-gejala sedia ada untuk memastikan keadaan anda sama ada pada peringkat yang normal, ringan, sederhana teruk, atau sangat teruk. Anda juga boleh pergi berjumpa dengan doktor perubatan di klinik kesihatan terdekat untuk menyemak gejala ini.

Jika didapati gejala tersebut berisiko tinggi, pihak kaunselor dan doktor perubatan akan merujuk anda kepada Pakar Psikiatri untuk pemeriksaan lanjut. Anda juga boleh menyemak keadaan gejala kemurungan anda melalui pautan di bawah ini:

https://www.mdcalc.com/calc/1725/phq9-patient-health-questionnaire9

Namun begitu, anda tidak boleh mendiagnos diri sendiri selepas melakukan ujian diatas talian ini, dan anda perlu berjumpa dengan profesional untuk menyemak keadaan diri anda dengan teliti.

[Kesimpulan]

Kemurungan adalah penyakit mental serius yang jika tidak dirawat dengan betul boleh membawa kepada risiko kematian. Gejala-gejala seperti perasaan sedih yang berpanjangan, fikiran bunuh diri, dan kehilangan minat dalam kehidupan boleh mengakibatkan pemulihan yang sukar. Oleh itu, penting untuk mencari bantuan profesional dan rawatan yang sesuai untuk mengelakkan komplikasi yang lebih serius.

Disediakan oleh:

Muhammad Abdul Rahim bin Habib
Pegawai Psikologi
Bahagian Kaunseling dan Pemerkasaan Mahasiswa

 

Tarikh Input: 11/01/2024 | Kemaskini: 11/01/2024 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcCAH~