JEPAK SASAR 25 PERATUS PENURUNAN KES PENAGIHAN DADAH AKHIR TAHUN 2024 | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » JEPAK SASAR 25 PERATUS PENURUNAN KES PENAGIHAN DADAH AKHIR TAHUN 2024

JEPAK SASAR 25 PERATUS PENURUNAN KES PENAGIHAN DADAH AKHIR TAHUN 2024

JEPAK, 14 Januari - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee komited membendung dan memerangi kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah ini.

Iskandar berkata, beliau menyasarkan penurunan jumlah penagih dadah sebanyak 25 peratus pada akhir tahun ini berbanding 79 individu yang direkodkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada tahun lalu.

"Program ini amat bertepatan dengan hasrat saya untuk memastikan belia di kawasan ini bebas daripada masalah penyalahgunaan dadah.

"Bagi memastikan ia mencapai sasaran, program kesedaran dan pencegahan dadah perlu dilaksanakan secara berkala dengan penglibatan semua pihak," katanya pada Majlis Perasmian Program Jom Gegar Jepak ; Sahabat Maritim Bebas Dadah Bersama Komuniti Jepak di Kampung Jepak di sini pada Sabtu.

Program itu juga merupakan program Intervensi Bersepadu yang memberi fokus kepada Isu Dadah dan Substans (OBID) di bawah One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) Daerah Bintulu.

Turut hadir sama Setiausaha Eksekutif, Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS) Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dr. Zufar Yadi Brendan Abdullah, Pegawai Daerah Bintulu, Tuan Muhammad Dino Amid, Pengarah Komunikasi Korporat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Faridah Shuib, dan Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains UPM Kampus Bintulu, Prof. Madya Dr. Mohamad Maulana Magiman.

Sepanjang tahun 2023, AADK telah merekodkan seramai 306 individu di daerah Bintulu terlibat dalam masalah penagihan dadah.

Angka itu meletakkan Bintulu menjadi daerah ke-empat tertinggi di Sarawak daripada 3,079 jumlah keseluruhan individu dikesan terlibat dengan gejala dadah.

Sementara itu, Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains UPM Kampus Bintulu, Prof. Madya Dr. Mohamad Maulana Magiman berkata, program advokasi kesedaran bahaya dadah anjuran UPM Kampus Bintulu dilaksanakan bagi memberi penekanan khusus kepada komuniti selain mewujudkan perubahan sosial yang positif.

"Program ini juga merupakan program jaringan komuniti di bawah komponen CARE (Community Resilience Experential Learning) melalui projek lapangan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bertujuan untuk memberi pendedahan kepada belia di kawasan ini tentang bahaya aktiviti jenayah di perairan dan penyalahgunaan dadah," katanya.

Bersempena program itu, seramai 42 orang mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia dengan Pengurusan, Semester 1, ‘turun padang’ bagi menjayakan projek komuniti tersebut.

Tarikh Input: 16/01/2024 | Kemaskini: 16/01/2024 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcFAf~