ISKANDAR SASAR TURUNKAN JUMLAH PENAGIH DADAH DI JEPAK | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » ISKANDAR SASAR TURUNKAN JUMLAH PENAGIH DADAH DI JEPAK

ISKANDAR SASAR TURUNKAN JUMLAH PENAGIH DADAH DI JEPAK

KUCHING: Pelbagai aktiviti dan program akan dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahaya dadah sekali gus membendung masalah itu khasnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata, untuk menjayakan program yang dirancang, ia perlu dilaksanakan secara berkala dan memerlukan penglibatan semua pihak.

Menurutnya, pada tahun 2023, sebanyak 79 individu di kawasan DUN Jepak mempunyai rekod di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

"Sehubungan itu, kita mensasarkan untuk menurunkan jumlah penagih dadah khasnya di kawasan DUN Jepak iaitu 24 peratus hingga akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Jom Gegar Jepak; Sahabat Maritim Bebas Dadah Bersama Komuniti Jepak, di Kampung Jepak, Bintulu pada Sabtu.

Jelas Iskandar, program tersebut antara program terawal yang dilaksanakan pada tahun 2024 yang dijalankan bersama-sama Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu.

Menurutnya, program yang dijalankan itu tepat dengan hasratnya untuk memastikan masyarakat khasnya belia di DUN Jepak bebas dadah.

Sementara itu Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains UPM Kampus Bintulu Profesor Madya Dr Mohamad Maulana Magiman berkata, program advokasi kesedaran bahaya dadah ini dilaksanakan bagi memberi penekanan khusus kepada menangani keperluan komuniti dan mewujudkan perubahan sosial yang positif. 

"Program ini juga merupakan program jaringan komuniti di bawah komponen Community Resilience Experential Learning (CARE) melalui projek lapangan Service Learning Malaysia- University for Society (SULAM).

"Ia bertujuan untuk memberi pendedahan kepada belia di kawasan berkenaan tentang bahaya aktiviti jenayah di perairan dan penyalahgunaan dadah," jelasnya.

Mengenai program, ia merupakan program intervensi bersepadu yang memberi fokus kepada isu dadah dan substans (OBID) di bawah one stop committee (OSC) bagi menangani isu dadah dan substans (MIDS) di Bintulu. 

Program sehari ini telah dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik merangkumi 20 aktiviti seperti forum, pertandingan sukan, segmen kanak-kanak/remaja pemimpin masa hadapan, pameran dari agensi dan jabatan kerajaan serta banyak lagi.

Terdahulu, sepanjang 2023, AADK telah merekodkan seramai 306 individu di daerah Bintulu terlibat dalam masalah penagihan dadah. 

Jumlah berkenaan meletakkan Bintulu menjadi daerah keempat tertinggi daripada 3,079 jumlah keseluruhan individu dikesan terlibat dengan gejala dadah di Sarawak. 

Hadir sama Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS) Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dr Zufar Yadi Brendan Abdullah, Pegawai Daerah Bintulu Muhammad Dino Amid, dan Pengarah Komunikasi Korporat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Faridah Shuib.

Tarikh Input: 16/01/2024 | Kemaskini: 16/01/2024 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcCAB~