INOVASI MIDIN CETUS KELAINAN DALAM SEKTOR GASTRONOMI | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » INOVASI MIDIN CETUS KELAINAN DALAM SEKTOR GASTRONOMI

INOVASI MIDIN CETUS KELAINAN DALAM SEKTOR GASTRONOMI

SAYUR midin tentunya tidak asing kepada rakyat Sarawak sebagai lauk pauk harian, selain tarikan utama pelancong yang berkunjung ke negeri ini.

Namun begitu, midin merupakan antara tanaman asli Sarawak yang kurang diteroka untuk dimanfaatkan oleh komuniti setempat, tidak seperti hasil tani lain misalnya Dabai yang terkenal dengan pelbagai produk hiliran menarik seperti keropok, susu, aiskrim dan jem.

Justeru itu, kebolehupayaan midin diproses menjadi porduk hiliran lain telah menjadi tanda tanya segelintir masyarakat di negeri ini.

Peniaga kuih, Hassan Bujang, 56, berkata mungkin tiada yang ingin mencipta produk sedemikian berasaskan midin kerana prosesnya yang terlalu leceh.

“Mungkin suatu hari nanti akan ada yang buat sebab midin ni leceh kalau nak bersihkan, salah buat lain rasanya,” katanya.

Bagi Zubaidah Kassim, 65, pula berkata dia kebiasaannya melihat sayur klasik itu dihidangkan sebagai midin masak belacan.

Namun begitu, dia terbuka untuk mencuba menghasilkan produk-produk hiliran baharu yang diperbuat daripada midin pada masa akan datang.

“65 tahun dah, saya baru mendengar (produk hiliran) midin. Tentu saya mahu mencuba,” katanya.

Senada dengan hasrat itu, Jabatan Teknologi Makanan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) telah menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mengenal pasti potensi midin sebagai produk hiliran.

Pensyarahnya, Farah Syahirah Abdul Shukri berkata pihaknya mengusahakan R&D untuk menjadikan sayur midin kepada snek kudapan yang dikenali sebagai Midin Nori.

Selain itu, katanya pasukan penyelidik melakukan R&D berkaitan inovasi terbaharu dalam mempelbagai pengeluaran midin di pasaran.

“Kami di Jabatan Teknologi Makanan ingin membangunkan satu produk yang kita dapat nikmati dan boleh dimakan pada bila-bila masa seperti midin nori.

“Kita jadikan sebagai snek dan bukan sekadar lauk pauk,” katanya ketika ditemui TVS baru-baru ini.

Menariknya kata Farah, snek kudapan ini, ia diperbuat 90 peratus daripada sayur midin dan tidak menggunakan sebarang bahan makanan tambahan tiruan.

Menurut rakan penyelidik, Siti Nadhira Mohamad Basri snek itu sangat sesuai untuk golongan yang menitikberatkan tahap kesihatan seperti individu dengan diabetes dan hipertensi.

“Snek ini mengandungi serat yang tinggi dan menjadi sumber protein. Ia juga 100 peratus asli dan tiada perisa tambahan dalam produk ini seperti pewarna, pengawet, perasa.

“Snek midin sesuai untuk individu pelbagai peringkat umur dan mereka yang peka terhadap kesihatan,” katanya.

Tambahnya, kerumitan penghasilan snek itu juga hanya pada tahap sederhana dan menggunakan proses unik iaitu teknologi pengeringan udara panas.

Mengorak langkah, ujarnya UTS berhasrat untuk berkolaborasi dengan Kerajaan Sarawak agar dapat menghasil dan mengkomersialkan ebih banyak produk derivatif berasaskan midin untuk dipasarkan ke seluruh negara.

Inovasi Midin: Kreativiti dalam Dunia Kulinari

Penyelidikan dan pembangunan yang dilakukan oleh UTS memberi semangat kepada penulis untuk meneroka lebih lanjut potensi midin dalam dunia kulinari.

Melalui inovasi dan kreativiti tersendiri, siapa sangka sayur tempatan itu mampu diangkat menjadi satu hidangan mewah.

Dengan pembaharuan yang dicipta dalam dunia kulinari, Pengasas Bersama Restoran Kyujin, Cef Alexandros secara tidak langsung membuka peluang dalam penerokaan potensi sayur midin.

Cef Alexandros atau lebih mesra dikenali sebagai Cef Alex berkata, Sarawak memiliki pelbagai tumbuhan asli yang menarik.

Namun bagi midin, tidak ramai yang berminat untuk menjalankan kajian ke atas kemampuan sayur tempatan itu sebagai bahan masakan.

“Apabila saya ‘bermain’ dengan midin, saya dapati sayur itu memiliki pelbagai rasa. Daripada baunya yang seakan membuatkan kita seperti berada di dalam hutan yang basah dan rasanya yang umami dan hijau,” katanya.

Menurutnya, daripada experimentasi beliau telah menemui beberapa kaedah menarik untuk menyediakan midin selain daripada menumis iaitu antaranya dengan mengeringkan midin tersebut.

“Dalam salah satu hidangan saya, ada yang saya gorengkan menjadi keropok atau saya keringkan untuk disimpan.

“Saya juga menjadikannya sebagai sup yang berkrim untuk dihidangkan bersama makanan laut seperti udang karang,” katanya.

Bagi Cef Alex yang lama berkecimpung dalam bidang kulinari, dalam usaha menginovasikan midin ke peringkat lebih tinggi, kerjasama menyeluruh daripada pelbagai pihak amat penting.

Ia termasuk peranan peladang dan peniaga tempatan yang membekalkan sayur midin kepada mereka.

Tambahnya, sektor gastronomi di Sarawak khususnya berhasrat untuk membantu petani dan peniaga tempatan dengan menjadi pelanggan tetap mereka.

“Dalam industri ini, kita perlu bersama. Ini yang menggalakkan kami untuk terus mencuba perkara baharu agar dapat mempelbagai produk akhir sayuran tempatan,” katanya.

Cef Alex sebelum ini bekerjasama dengan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) bagi membantu mempromosi dan memberi pendedahan kepada masyarakat di Singapura tentang keunikan sayur tempatan Bumi Kenyalang itu.

Sambil menyifatkan midin mempunyai potensi besar, beliau berkata pelbagai usaha perlu dilaksana bagi memasarkan sayur midin hingga ke pasaran global.

Pembaharuan yang dilakukan oleh Cef Alex tentunya selaras dengan pengiktirafan Bandaraya Kuching sebagai bandar gastronomi.

Midin diterbangkan ke Singapura

Pada 11 November 2020, Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) melakar sejarah apabila meraih rekod jualan luar biasa dengan 200 kilogram (kg) sayur midin terjual dalam tempoh satu jam.

Berkongsi cerita, Ketua Pegawai Eksekutif STATOS, Chew Chang Guan memaklumkan, pihaknya meraih permintaan yang tinggi untuk mengeksport midin terutamanya daripada rakyat Sarawak yang berhijrah ke republik itu.

Meskipun begitu, pejabat itu berhenti mengeksport sayur ke Singapura atas beberapa faktor seperti jangka hayat midin dan kos logistik yang tinggi.

Chang Guan berkata pihaknya sebelum ini menjual sayur itu dengan harga SGD60 bagi lima kilogram midin kerana terpaksa menanggung kos pengangkutan.

“Kami jual dengan harga tersebut bukan untuk meraih keuntungan tetapi kerana perlu menanggung kos logistik.

“Ia sangat mahal kerana kami tidak boleh menggunakan pengangkutan air disebabkan jangka hayatnya dan perlu diterbangkan ke Singapura.

“Dengan bantuan pembekal kami juga yang membungkusnya dalam storan yang sejuk, sayur midin dapat dihantar kepada pelanggan secepat mungkin sebelum ia menjadi hitam,” katanya.

Oleh itu, beliau mencadangkan agar kaedah alternatif diperkenal bagi memudahkan pihaknya mengeksport midin secara lebih mampan, tanpa mengabaikan kualiti barang dagangan.

Tambahnya, beliau juga pernah melihat pengeksport midin lain mengeringkan sayur itu terlebih dahulu sebelum dieksport ke luar negara.

“Sayur ini kurang diketahui oleh warga Singapura kerana kebanyakan yang membeli adalah mereka yang berhijrah dari Sarawak. Oleh itu, kita seharusnya memprosesnya dahulu sebelum memasarkan midin agar dapat mendidik masyarakat luar bagaimana untuk makan sayur ini.

“Ia satu pengenalan yang baik dan unik untuk Sarawak supaya apabila mereka ke sini nanti, mereka dapat menikmatinya,” katanya.

Turut senada, Pensyarah Fakulti Sains Pertanian Dan Perhutanan Universiti Putra Malaysia Cawangan Bintulu, Profesor Madya Dr Noorasmah Saupi yang menyifatkan sayur klasik Sarawak itu wajar dikomersial serata dunia.

Beliau berkata antara aspek sayur midin yang boleh diangkat adalah kandungan nutrisi dan khasiatnya.

“Sebagai contoh, kita jadikan sayur ini seperti asparagus, yang ada dalam hidangan yang mewah.

“Tetapi kalau kita buat inovasi, kena ada kajian sensori untuk golongan tertentu. Kita perlu kembangkan dan promosikan maklumat kandungan midin. Midin adalah tumbuhan yang mempunyai antioksidan yang tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noorhasmah berkata tumbuhan nadir itu memerlukan kawasan penanamannya tersendiri berikutan permintaan yang semakin tinggi.

Sayur midin memiliki potensi yang luas untuk dipasarkan secara intensif di peringkat antarabangsa dan menjadi elemen pelancongan, sekaligus sebagai sumber pendapatan baharu buat Sarawak.

Bagaimanapun, kerjasama  kolektif diperlukan daripada pemain industri, pihak swasta dan kerajaan negeri bagi mengkomersialkan  dan memperkenal sayur warisan Bumi Kenyalang itu ke seluruh dunia.

Angkat midin di persada dunia

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata hidangan berasaskan midin wajar dipelbagaikan agar bersesuaian dengan citarasa pelancong antarabangsa.

Menurutnya, langkah itu sebagai pengenalan awal kepada masyarakat luar untuk terus mencuba sayur tempatan tersebut.

“Ia bergantung kepada pakar sektor gastronomi untuk membuat improvisasi pada hidangan supaya dapat menjadikannya lebih menarik dan bersesuaian dengan citarasa bukan sahaja orang Asia, malah di bahagian lain dunia,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata Kerajaan Sarawak mengalu-alukan sebarang inisiatif untuk menginovasikan sayur midin sebagai elemen pelancongan baharu Bumi Kenyalang.

Bagaimanapun, isu utama yang dikhuatiri adalah bekalan dan permintaan yang perlu diteliti dengan lebih terperinci sebelum mengkomersialkan midin secara meluas.

“Melainkan kita mampu untuk menghasilkan midin secara besar-besaran untuk dieksport.

“Sekarang walaupun kita memiliki tanah yang luas, kebanyakan dijadikan sebagai ladang kelapa sawit dan untuk tanaman lain, tetapi bukan penanaman midin.

“Kemudian midin akan menjadi sangat terhad berikutan kuasa bekalan dan permintaan. Jika permintaan meningkat mendadak, orang tempatan juga tidak mampu untuk membelinya,” ujarnya.

Justeru, beliau memberi cadangan supaya pihak Kementerian, Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak untuk mengusahakan ladang sayur midin.

Ladang midin untuk pengkomersialan

Terdapat keperluan untuk mengusahakan ladang tanaman midin bagi menampung permintaan eksport dan tempatan.

Kaedah itu juga turut memberi jaminan terhadap keselamatan sayur berbanding dengan midin yang tumbuh meliar.

Penolong Pegawai Pertanian Jabatan Pertanian Negeri Sarawak (JPNS), Abu Hamzah Jamil berpandangan dengan adanya ladang midin penghasilan tanaman itu akan lebih teratur yang akan memudahkan pengkomersialan.

“Kalau dahulu, kita akan kutip midin di tanah-tanah atau kebun terbiar, tetapi dengan teknologi terkini kita mengambil pendekatan agar orang kampung dapat mengkomersialkan tanaman midin mereka sendiri.

“Kita juga mengambil faktor keselamatan. Kalau di kebun kelapa sawit misalnya, kita tidak tahu kandungan sayur ini kerana mungkin diracun, agak merbahaya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui inisiatif untuk mengusahakan ladang midin  tidak popular dalam kalangan petani kerana memerlukan penjagaan berterusan dan komitmen yang tinggi.

Selain itu, keuntungan yang diperoleh juga tidak setimpal.

Di Kota Samarahan misalnya, harga dibeli pembekal adalah RM8 hingga RM9 sekilo namun dijual di pasar di kawasan itu sehingga RM25 sekilo.

“Agak tidak berbaloi kepada orang kampung kerana mereka yang mencarinya tetapi yang dapat untung besar adalah orang tengah.

“Kalau boleh kita buangkan orang tengah dan jual terus antara petani dan pemborong,” katanya.

Justeru, perbincangan lebih terperinci perlu dilaksanakan  pihak terlibat agar ladang midin dapat diusahakan yang boleh memberi manfaat kepada semua.

Sekiranya Jabatan Pertanian memulakan langkah untuk mengusahakan ladang tanaman midin secara meluas, ini secara tidak langsung memberi keyakinan kepada orang kampung untuk terus mengusahakan tanaman midin tanpa dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. -TVS

 

Tarikh Input: 04/03/2024 | Kemaskini: 04/03/2024 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcTA2~