DR. MARINA PILIH KATAK DALAM PENYELIDIKAN DEMI PEMULIHARAAN EKOSISTEM ALAM SEKITAR | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » DR. MARINA PILIH KATAK DALAM PENYELIDIKAN DEMI PEMULIHARAAN EKOSISTEM ALAM SEKITAR

DR. MARINA PILIH KATAK DALAM PENYELIDIKAN DEMI PEMULIHARAAN EKOSISTEM ALAM SEKITAR

Jika hujan turun, katak akan berbunyi dengan sangat kuat seolah-olah sedang berlaku suatu pesta. Bunyi katak yang sangat kuat telah memukau pencinta katak sehingga membuatkan beliau memilih untuk menjadikan katak sebagai model atau haiwan kajian beliau.

Pensyarah Ekologi dan Pengurusan Hidupan Liar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah,  memilih katak sebagai haiwan kajian adalah sangat tepat kerana haiwan ini penting dalam ekosistem alam sekitar dan juga memainkan peranan utama.

Beliau memilih kumpulan haiwan amfibia Anura (katak) sebagai bidang kajian kerana katak adalah haiwan liar yang aktif pada waktu malam dan memainkan peranan besar kepada kehidupan manusia.

Baginya haiwan ini sangat memikat hatinya kerana ianya jarang-jarang ditemui dan beliau perlu ke habitat hutan, bukit atau paya untuk melihat sendiri keunikan pada kata-katak ini yang tidak boleh ditemui ditempat lain.

“Seringkali kita semua terserempak dengan katak pada waktu malam, dan dendangan irama suara katak pada musim hujan membuatkan jiwa saya nekad untuk menjadi penyelidik bagi haiwan ini.

“Bukan itu sahaja, bunyi hujan dan katak adalah bunyi alam yang menjadi terapi minda di waktu malam hari buat saya. Bunyi-bunyi alam ini memberikan getaran yang positif dan berhubungan dengan emosi. Oleh itu, semasa melakukan penyelidikan di dalam hutan pada waktu malam, ianya lebih tenang ketika mendengar bunyi alam semulajadi.

“Saya seorang yang aktif pada waktu malam. Mungkin disebabkan itu saya memilih haiwan ini kerana sifat katak itu sendiri juga membuatkan saya mempelajari dan mengenali haiwan ini dengan hati yang sangat terbuka,” katanya.

Beliau sebagai seorang penyelidik yang mengkaji habitat katak juga bercita-cita ingin melakukan pemuliharaan bagi habitat ini di Malaysia. Ini kerana banyak spesies katak terancam dek kerana tahap kesihatan alam sekitar yang mempunyai hubungan signifikan terhadap populasi katak.

Tambahnya, usahanya ini serba sedikit dapat melindungi habitat dan mengurangkan kesan buruk akibat alam sekitar yang terganggu kepada katak dan mengakibatkan kematian dan banyak spesies yang akan pupus pada masa hadapan.

Dr. Marina merupakan ahli zoologi yang mengkaji haiwan liar di Malaysia, sepanjang melakukan penyelidikan ini beliau berjaya merekodkan pelbagai spesies katak yang sangat ‘rare’ di Malaysia.

“Alhamdulillah, sepanjang menjadi penyelidik haiwan Amfibia di UPM, terdapat lebih 42 spesies katak berjaya ditemui di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong (HSAH), Selangor.

“Salah satu katak ‘rare’ yang berjaya ditemui di HSAH adalah Katak Lekit Tanah Rendah. Spesies yang hanya terdapat di Semenanjung Malaysia ini biasanya menghabitat kawasan hutan tanah rendah dan spesies ini di bawah status pemuliharaan Terancam (IUCN, 2018),” ujarnya.

Beliau berharap agar semua orang menilai dan memelihara setiap lingkungan halaman kediaman kita daripada tercemar kerana katak dan manusia berkongsi kediaman yang sama.

“Kehadiran katak di kediaman kita bergantung pada tahap kebersihan dan kesejahteraan persekitaran untuk katak meneruskan kehidupan,” ujarnya.

Tarikh Input: 16/11/2023 | Kemaskini: 16/11/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcXA6~