115 ANAK POKOK DITANAM SEMPENA PROGRAM HIJAU DI KELAB GOLF BINTULU | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» ARTIKEL » 115 ANAK POKOK DITANAM SEMPENA PROGRAM HIJAU DI KELAB GOLF BINTULU

115 ANAK POKOK DITANAM SEMPENA PROGRAM HIJAU DI KELAB GOLF BINTULU

Sejumlah 115 anak pokok tempatan dan hiasan ditanam pada Program Penanaman Pokok bertemakan ‘Memupuk Alam Sekitar Sihat’ di Kelab Golf Bintulu kelmarin. Antara pokok yang ditanam ialah empat spesies nadir terdiri daripada durian, dabai, petai, kasai serta masing-masingnya satu spesies pokok hutan tempatan iaitu engkabang dan pokok hiasan asoka.

Program anjuran Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Kelab Golf Bintulu dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Bintulu itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-45 BDA dan 60 Tahun Sarawak Merdeka.

Program penghijauan itu juga selari seruan Sarawak menanam 35 juta pokok dalam menyokong agenda Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 juta pokok dalam tempoh 2021 sehingga 2025, sekali gus inisiatif mengurangkan kesan perubahan iklim serta kesan pelepasan gas rumah hijau (GHG) ke atmosfera bumi.

Ia turut bertujuan menggalakkan penyimpanan karbon secara berterusan dan mampan melalui aktiviti penanaman pokok iaitu pendekatan berasaskan alam semula jadi yang mana kelestarian penghijauan ini penting untuk generasi masa depan agar bumi kekal sihat, bersih dan selamat untuk didiami.

Berucap merasmikan program itu, Pengurus Besar BDA Datu Muhamad Yakup Kari berkata, aktiviti penanaman pokok ini merupakan satu keperluan dan bukan pilihan demi menghadapi cabaran mendatang.

Katanya, program sebegini berupaya membawa masyarakat setempat terlibat sama membentuk bandar selamat untuk didiami, kualiti persekitaran bersih dan sihat dalam menuju kelestarian hijau bandar.

“Program penghijauan berlandaskan Pelan Strategik BDA 2024-2030 bertemakan ‘Ke Arah Hab Perindustrian Rendah Karbon menjelang 2030’ dengan mewujudkan suasana masa depan holistik dan seimbang dalam pembangunan dan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata, program penghijauan itu penting bagi mewujudkan kesepakatan erat antara pelbagai agensi kerajaan dan swasta untuk bersama-sama mengurangkan kesan perubahan iklim yang agak meruncing pada masa ini.

Dalam pada itu, UPMKB turut merakamkan setinggitinggi penghargaan kepada BDA yang telah menaja program ini sepenuhnya.

Aktiviti ini dikelola Pengarah programnya Lydia Soloma Jalong (BDA) dengan kerjasama Abdul Mazli Hafiz Abdul Malik (JAS Bintulu) dan Prof Madya Dr. Geoffery James Gerusu (UPMKB).

Perasmian program disempurna Timbalan Pengerusi BDA Dato Haidar Khan Asghar Khan dan turut hadir ialah Timbalan Pengurus Besar BDA Abdul Rahim Abdullah, Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan UPMKB Dr. Zamri Rosli serta Pengurus Kelab Golf Bintulu, Akbar Jahan Amir Hamzah.

 

Tarikh Input: 18/09/2023 | Kemaskini: 18/09/2023 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXEcEAu~