WEBINAR KEUSAHAWANAN ANJURAN PELAJAR USAHAWAN SISWA UPMKB MENDAPAT SAMBUTAN | UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK
» PUTRABAKTI » WEBINAR KEUSAHAWANAN ANJURAN PELAJAR USAHAWAN SISWA UPMKB MENDAPAT SAMBUTAN

WEBINAR KEUSAHAWANAN ANJURAN PELAJAR USAHAWAN SISWA UPMKB MENDAPAT SAMBUTAN

Kursus Kokurikulum Berkredit QKH2104 Usahawan Siswa (Kumpulan 1) Semester Pertama Sesi Akademik 2021/2022 Universiti Putra Malaysia KampuS Bintulu Sarawak (UPMKB) telah menganjurkan dengan jayanya webinar PUTRA BAKTI @ Novice Entrepreneurs (Restore our Future) pada 23 Oktober lalu.

Webinar tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat dan membantu memperkasa belia yang terdiri daripada pelajar universiti dalam meningkatkan kemahiran praktikal, kemahiran insaniah dan pengurusan acara serta memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi antara satu sama lain dengan lebih efektif sekali gus mengaplikasi hasil pembelajaran yang tidak diperoleh melalui kursus akademik yang lain di dalam kelas.

Dalam pada itu, Fasilitator Kursus QKH2104 Usahawan Siswa Roslan Ismail berkata program ini adalah bertujuan untuk mewujudkan minat serta memberi tunjuk ajar kepada golongan muda-mudi yang ingin menceburkan diri dalam dunia keusahawanan. Program ini terdiri daripada empat slot iaitu, From Zero to Hero, Teman atau Lawan?, Our Circle, dan Minda Kelas Pertama yang mampu membimbing pelajar ke arah pemikiran keusahawanan (entrepreneurial mindset) atau kecenderungan untuk menjadi seorang usahawan melalui pendidikan yang pastinya terbukti untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Tambahan pula, melalui projek keusahawanan, pelajar dapat mengaplikasikan kemahiran teknikal dan insaniah yang dipelajari serta mengetahui cara mengurus perniagaan dan program lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik ini. Dalam keadaan ini, golongan muda yang bergelar usahawan akan menghadapi pelbagai masalah berkaitan dengan sumber kewangan mereka. Namun, tidak kurang juga pertolongan yang dapat diberikan oleh badan-badan kerajaan, demi membantu golongan ‘novice’ atau orang baharu dalam dunia keusahawanan ini agar terus membangun dan mencapai kejayaan walaupun berdepan dengan masalah ekonomi semasa pandemik ini.

“Di samping itu, Putra Food Bank merupakan fasiliti yang disediakan untuk membekalkan makanan serta barang keperluan bagi pelajar golongan asnaf dan fakir miskin dengan slogan ‘Daripada Pelajar kepada Pelajar yang Memerlukan’ #UPMCakna,” kata Pengarah Program Mohamad Amirul Afzan Amram ketika berucap pada majlis penutupan program satu hari itu yang disertai 250 peserta.

Beliau berharap usaha ini sekurang-kurangnya dapat membantu dan meringankan beban para pelajar terbabit. Melalui penganjuran Program PUTRA BAKTI @ Novice Entrepreneurs (Restore our Future), ia diharapkan dapat memberi kesan positif kepada penganjur dan peserta demi mencapai objektif program ini. Sesungguhnya, memiliki kemahiran tambahan sebagai ilmu yang boleh diaplikasikan bersama-sama kemahiran yang mereka perolehi menerusi pengajian amat penting.

Kebolehan berfikir secara kritis dan kreatif dalam mengaplikasikan apa yang dipelajari dan menambah ilmu dalam bidang berlainan membolehkan mereka lebih berdaya saing dalam pasaran kerjaya. Maka, pengetahuan pelajar tidak akan terhad ke arah bidang masing-masing sahaja malahan mereka juga mampu untuk meluaskan pengetahuan dalam bidang yang berlainan daripada kebiasaan mereka kerana program ini merupakan satu langkah persediaan mereka untuk memulakan sesuatu yang baharu pada bila-bila masa sahaja dan penganjuran program keusahawanan ini akan diteruskan pada tahun hadapan.

Tarikh Input: 09/11/2021 | lanz

PERKONGSIAN MEDIA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU SARAWAK

Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia

086855201
086855888
SXDdTAD~